Tunku Ismail dalam Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU –  Mana-mana pihak tidak wajar sewenang-wenangnya melabel Kerajaan Negeri Johor sebagai gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Pemangku Sultan Johor bertitah, pentadbiran negeri sentiasa dipantau secara dekat bagi memastikan setiap dasar, projek dan arahan dilaksanakan dengan berkesan, bukan sekadar diumumkan.

“Jangan datang sini cakap benda bukan-bukan seolah-olah rakyat tidak dilayan dengan baik ataupun kerajaan yang mentadbir tidak membuat kerja.

“Saya monitor kerajaan saya. Saya pastikan kerajaan ini buat kerja,” titah Tunku Mahkota Ismail dalam Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor, hari ini.

Menurut Tunku Mahkota Ismail, tahap pemantauan terhadap pentadbiran negeri dilakukan secara serius, termasuk mendapatkan penjelasan terus daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri sekiranya sesuatu perkara masih belum diselesaikan.

“Kalau tidak buat kerja, awak boleh tanya Datuk Menteri Besar, boleh tanya Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Sampai kadang-kadang pukul tiga pagi pun saya telefon dan tanya, kenapa benda ini belum siap,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan, Johor tidak memerlukan politik yang hanya dipenuhi janji, teori dan lakonan, sebaliknya kepimpinan yang mampu melaksanakan keputusan serta memberikan hasil nyata kepada rakyat.

“Saya tidak suka janji ataupun cakap dongeng. Saya suka melaksanakan. Apabila ada visi, mesti kita laksanakan.

“Visi tanpa pelaksanaan hanyalah satu halusinasi,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, rakyat perlu menilai sesebuah kerajaan berdasarkan fakta, prestasi, kemampuan turun padang dan hasil yang berjaya dilaksanakan.

Baginda turut mengingatkan, mencari kesalahan dan membuat janji ketika menjadi pembangkang adalah mudah, namun tidak semua pihak mempunyai keupayaan untuk mentadbir apabila diberikan amanah.

“Untuk cari isu, cari salah dan menjadi pembangkang memang senang.

“Tetapi apabila sudah dapat kerusi untuk mentadbir, tidak semua orang boleh mentadbir,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast