Maritim mematahkan cubaan menyeludup keluar benih udang kara bernilai kira-kira RM2.6 juta di Jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mematahkan cubaan menyeludup keluar benih udang kara bernilai kira-kira RM2.6 juta di Jeti Tanjung Belungkor, awal pagi semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, hasil maklumat risikan yang dijalankan pada pukul 6.46 pagi pihaknya mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan di kawasan jeti berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa sebanyak 113 kotak polistirena yang mengandungi benih udang kara dipercayai untuk diseludup ke Singapura.

“Siasatan awal mendapati, benih udang kara berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit bagi tujuan penghantaran ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, pihaknya turun merampas sebuah bot gentian kaca dan sebuah enjin sangkut berkuasa 150 kuasa kuda.

Katanya, benih udang kara merupakan sumber perikanan yang mempunyai nilai komersial tinggi dan permintaan yang besar di pasaran antarabangsa.

“Aktiviti penyeludupan seperti ini bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan usaha pemuliharaan serta kelestarian sumber marin negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa maritim akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan risikan di kawasan perairan Johor timur yang dikenal pasti sebagai laluan aktiviti penyeludupan dalam membanteras kegiatan penyeludupan rentas sempadan melibatkan sumber perikanan bernilai tinggi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985 kerana mengimport atau mengeksport ikan hidup tanpa permit yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Maritim Malaysia melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili 07-891 6595 untuk tindakan segera.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast