Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang, Dr. Mohd Azmi Othman

KUANTAN –  Sepanjang tahun 2025, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) berjaya merekodkan kutipan zakat harta sebanyak RM243.1 juta manakala zakat fitrah berjumlah RM9.8 juta menjadikan keseluruhan kutipan sebanyak RM252.9 juta di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Dr. Azmi Othman berkata, sebanyak RM273 juta dana zakat berjaya diagihkan kepada lebih 159,000 penerima.

“Ia merangkumi yang merangkumi golongan fakir miskin, pelajar, institusi pendidikan, guru al-Quran, guru tahfiz serta pelbagai program pembangunan asnaf.

“Agihan terbesar melibatkan bantuan fakir miskin sebanyak RM132.4 juta, diikuti dermasiswa dan pendidikan RM42.9 juta, elaun pegawai masjid serta guru al-Quran dan tahfiz RM17.4 juta.

Dalam pada itu, wakaf turut menunjukkan perkembangan positif apabila Wakaf Tunai Pahang merekodkan kutipan sebanyak RM7.6 juta dengan penyertaan hampir 11,000 pewakaf sepanjang tahun lalu.

Sebanyak 63 aset wakaf berupa tanah dan bangunan bernilai melebihi RM11 juta turut diterima, membuktikan keyakinan masyarakat terhadap institusi wakaf sebagai instrumen pembangunan Islam yang berkesan.

“Dana wakaf yang diagihkan pula mencecah hampir RM4 juta melibatkan sektor keagamaan, sosial, pendidikan dan kesihatan,” tambahnya.

Sementara itu, katanya, semangat hijrah bukan sekadar meninggalkan yang buruk kepada yang lebih baik, sebaliknya turut mengajak umat Islam melakukan transformasi dalam pengurusan harta melalui amalan zakat dan wakaf yang menjadi tunjang kesejahteraan ummah.

Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf (BZW) sempena bulan Muharam ini menyeru masyarakat Islam menjadikan zakat dan wakaf sebagai budaya hidup dalam usaha memperkukuh ekonomi umat, membantu golongan memerlukan serta membina legasi kebajikan yang berpanjangan.

“Masyarakat Islam diingatkan zakat dan wakaf bukan sekadar ibadah individu tetapi merupakan mekanisme ekonomi Islam yang mampu merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial masyarakat.

“Daripada kira-kira 1.2 juta umat Islam di Pahang, hanya sekitar 108,000 individu direkodkan sebagai pembayar zakat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dari kiri : Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, Dr. Mohd Syakir Datuk Mohd Taib; Ketua Pegawai Operasi Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang, Zafridan Mohd Daud;Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang, Dr. Mohd Azmi Othman; Pengurus Zon Tengah Pusat Kutipan Zakat Pahang merangkap Pengarah Bulan Zakat Dan Wakaf 2026, Mohd Asri Awang; Pengurus Besar Khidmat Pengurusan Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang , Tuan Che Samsol Ibrahim pada Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf (BZW) 2026 baru-baru ini

Justeru, usaha dakwah dan pendidikan berkaitan zakat perlu diperkasakan agar lebih ramai umat Islam menunaikan kewajipan tersebut demi keberkatan hidup dan kelangsungan pembangunan ummah.

Katanya, penganjuran Bulan Zakat dan Wakaf sempena Muharam mengambil inspirasi hijrah Rasulullah SAW yang diterjemahkan dalam bentuk ‘hijrah ekonomi’ melalui budaya berinfaq, berzakat dan berwakaf.

Menurutnys lagi, lebih 200 program dirancang di seluruh negeri sepanjang Bulan Zakat dan Wakaf 2026 bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan kedua-dua instrumen itu dalam membangunkan umat.

“Pelancaran Bulan Zakat dan Wakaf 2026 menjadi bukti bahawa kekuatan ummah bukan hanya diukur melalui jumlah harta yang dimiliki tetapi sejauh mana harta tersebut dikongsi dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat.

“Dalam dunia yang semakin mencabar, zakat membersihkan rezeki manakala wakaf memanjangkan pahala,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast