KUALA LUMPUR – Polis mengesan pemandu Proton Iriz yang lari selepas mengakibatkan kemalangan di Batu 2 1/2 Jalan Meru, Klang pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner P. Ramsay Embol berkata, ketika kejadian pada 1.40 petang, lelaki itu tiba-tiba mengubah haluan dari kiri ke kanan kemudian melanggar sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipandu lelaki berumur 18 tahun.
“Pemandu Perodua Kelisa tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Proton Iriz telah melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kesalahan memandu secara melulu merbahaya.
Sehubungan itu, Ramsay meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Klang Utara, Sjn Low Wee Hong di talian 017-674 7946.- MalaysiaGazette
















