Larian solo itu membabitkan laluan sejauh 290 kilometer.

KUALA LUMPUR – Sakit itu sementara, tetapi semangat demi Dara, Amoi dan Kelat (DAK) kekal membara, demikian luahan cekal Koordinator Sekretariat Solidariti Bersama DAK, Neow Choo Seong.

Enggan membiarkan kecederaan lutut menghalang misi larian solonya, Choo Seong meneruskan larian demi menuntut keadilan buat tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.

Meskipun dinasihati oleh doktor di Hospital Tapah malam tadi agar tidak meneruskan larian demi keselamatan fizikalnya, Choo Seong memilih untuk mengetepikan rasa sakit itu demi membawa suara hidupan liar berkenaan ke peringkat tertinggi.

“Seawal jam 5 pagi tadi, selepas selesai sesi pemanasan badan, saya mulakan langkah dari Bidor mengharungi laluan jalan lama yang gelap gelita menuju ke Tanjong Malim.

“Tetapi sakit itu sementara.

“Sepanjang perjalanan orang ramai tidak putus-putus memberi semangat dan dorongan.

Muallim yang menemani Cho Seong sepanjang 10 kilometer di Tanjung Malim.

 

“Terima kasih juga kepada komuniti pelari dari Muallim yang sudi menemani saya berlari sejauh kira-kira 10 kilometer.

“Pada sebelah malam pula saya menerima jemputan walkabout di pasar malam Tanjong Malim untuk memberi kesedaran tentang keadaan sebenar gajah kita yang terkurung di Zoo Tennoji,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Perjuangan yang menuntut ketahanan mental dan fizikal yang tinggi ini akan diteruskan esok dengan sasaran laluan menuju ke Selayang sebelum dijadual berakhir di pekarangan bangunan Parlimen.

Choo Seong berkongsi kesedaran mengenai Dara, Amoi dan Kelat kepda orang ramai.

“Doakan kesihatan saya baik-baik sahaja dan mampu menamatkan larian sehingga ke garisan penamat.

“Jumpa semua di Parlimen pada Isnin 22 haribulan nanti (esok),” katanya lagi.

Larian Solidariti Bersama DAK selama enam hari bermula 18 Jun lalu bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap kebajikan tiga gajah Malaysia iaitu DAK.

Larian solo itu membabitkan laluan sejauh 290 kilometer dari Taiping ke Ipoh, Ipoh ke Kampar, Kampar ke Tapah, Bidor ke Tanjung Malim, Tanjung Malim ke Selayang dan Selayang ke bangunan Parlimen. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast