Diabetes yang tidak dikawal boleh menyebabkan pelbagai implikasi kesihatan. Gambar hiasan

RAMAI beranggapan semua luka akan sembuh cukup sekadar dengan dibersihkan dan dirawat. Hakikatnya, terdapat perbezaan dalam proses penyembuhan antara luka biasa dan luka kronik. Luka biasa atau luka akut ialah seperti luka akibat terkena benda tajam dan luka selepas pembedahan. Luka ini lazimnya sembuh dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu mengikut proses semula jadi tubuh.

Sebaliknya, luka kronik ialah luka yang gagal sembuh dalam tempoh yang sepatutnya dan boleh berlarutan selama beberapa minggu atau bulan jika puncanya tidak ditangani. Keadaan ini sering berlaku di kalangan pesakit diabetes, warga emas atau individu yang mengalami masalah peredaran darah.

Di Malaysia, peningkatan jumlah pesakit diabetes dari tahun ke tahun amat membimbangkan. Institut Kesihatan Umum melaporkan lebih kurang 1 daripada 5 rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes. Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada jumlah tersebut tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini.

Apa yang membimbangkan, luka kronik bukan sahaja menyebabkan kesakitan dan mengurangkan kualiti hidup pesakit, malah boleh meningkatkan risiko jangkitan serius sehingga menyebabkan amputasi.

Apabila luka gagal sembuh, risiko jangkitan meningkat dan komplikasi yang lebih serius boleh berlaku. Dianggarkan kira-kira 32,000 pesakit diabetes kehilangan anggota kaki setiap tahun akibat komplikasi. Kebanyakan kes bermula dengan luka kecil pada kaki yang gagal sembuh sebelum menjadi semakin serius dan akhirnya memerlukan amputasi.

Inilah antara sebab mengapa luka kronik dianggap sebagai salah satu cabaran kesihatan yang signifikan di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan kos tahunan bagi menangani penyakit kronik mencecah lebih RM 9.65 bilion.

Persoalannya, mengapa sesetengah luka mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk sembuh walaupun pesakit telah menerima rawatan?

Sebenarnya, selain dari rawatan luka secara langsung, terdapat beberapa faktor lain yang memainkan peranan dalam membantu penyembuhan luka. Antara faktor yang sering terlepas pandang dan diambil ringan ialah pemakanan.

Kajian menunjukkan bahawa sehingga satu pertiga pesakit yang mengalami luka kronik sebenarnya mengalami masalah kekurangan zat makanan atau berisiko mengalami malnutrisi. Keadaan ini menyebabkan tubuh tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk membaiki tisu yang rosak dan menghasilkan kulit baharu.

Proses penyembuhan luka memerlukan tenaga yang sangat tinggi. Selain perlu menghasilkan sel baharu, tubuh juga perlu membina semula saluran darah di bahagian luka, menghasilkan kolagen dan melawan jangkitan secara serentak. Semua proses ini memerlukan bekalan nutrien yang mencukupi.

Protein misalnya merupakan bahan binaan utama semasa proses penyembuhan luka. Apabila seseorang mengalami luka kronik, keperluan protein akan meningkat dengan ketara berbanding individu sihat. Tanpa protein yang cukup, tubuh akan mengalami kesukaran untuk menghasilkan kolagen yang penting bagi pembentukan tisu baharu.

Selain protein, vitamin C memainkan peranan penting dalam pembentukan kolagen. Kekurangan vitamin C boleh menyebabkan luka lambat sembuh. Vitamin D pula membantu mengawal sistem imun dan proses keradangan yang berlaku semasa penyembuhan luka.

Mineral seperti zink juga adalah antara unsur penting dalam proses penyembuhan luka. Kekurangan zink boleh memperlahankan proses pembentukan tisu baharu, selain turut meningkatkan risiko komplikasi.

Selain sumber nurtisi yang lengkap, air juga memainkan peranan yang sama penting. Air membentuk kira-kira 60 peratus daripada tubuh manusia dan terlibat dalam hampir semua proses fisiologi tubuh.

Dalam penyembuhan luka, air bertindak sebagai medium yang membawa oksigen dan nutrien ke kawasan luka. Ia turut membantu mengekalkan peredaran darah yang baik.

Justeru, hidrasi yang mencukupi bukan sahaja penting untuk kesihatan tubuh secara keseluruhan, malah turut mempengaruhi keupayaan tubuh untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka.

Menyedari hubungan rapat antara pemakanan dan proses penyembuhan luka, saintis kini sedang meneroka konsep pemakanan peribadi atau personalised nutrisi.

Pendekatan konvensional sebelum ini yang menggunakan konsep ‘satu diet untuk semua’ mungkin tidak lagi relevan pada masa hadapan kerana setiap individu mempunyai keperluan pemakanan yang berbeza bergantung kepada keadaan kesihatan dan keupayaan tubuh mereka untuk pulih.

Pendekatan personalised nutrition dianggap lebih tepat kerana ia akan mengambil kira status kesihatan, keperluan nutrien, profil biologi dan faktor genetik setiap individu dalam proses rawatan bagi mengoptimumkan proses penyembuhan.

Ia dijangka akan menjadi sebahagian daripada rawatan luka moden pada masa hadapan. Dengan kemajuan teknologi dan sains pemakanan, doktor dan pakar kesihatan berpotensi mengenal pasti nutrien yang paling diperlukan oleh seseorang pesakit berdasarkan profil biologinya, sekali gus membolehkan pelan pemakanan yang lebih tepat dan berkesan dirangka untuk mempercepatkan proses pemulihan.

Namun, walau secanggih mana pun teknologi yang dibangunkan, manfaatnya tidak akan dapat dinikmati sepenuhnya jika masyarakat masih menganggap pemakanan hanyalah aspek sampingan dalam rawatan.

Hakikatnya, makanan bukan sekadar sumber tenaga atau pengalas perut, malah ia merupakan sebahagian daripada terapi yang menyokong proses penyembuhan.

Bagi pesakit diabetes, warga emas dan individu yang mengalami luka kronik, pengambilan protein, vitamin, mineral serta air yang mencukupi boleh menjadi faktor penting yang menentukan sama ada luka dapat sembuh dalam tempoh yang munasabah atau terus berlarutan.

Oleh itu, apabila membicarakan tentang rawatan luka, perhatian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada ubat-ubatan, balutan atau prosedur klinikal semata-mata. Apa yang berada di dalam pinggan makanan setiap hari juga mempunyai peranan yang tidak kurang penting dalam menentukan kejayaan proses penyembuhan.

Kadangkala, proses penyembuhan tidak bermula di klinik atau hospital, tetapi bermula dengan pilihan makanan yang dibuat di dapur dan di meja makan setiap hari.

Marilah kita sama-sama lebih selektif dalam pemilihan makanan kerana kesihatan yang baik bermula daripada apa yang kita makan setiap hari. Ingat, kita adalah apa yang kita makan.

Oleh: Dr. Seri Narti Edayu Sarchio
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Bioperubatan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast