Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Menjelang pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka dibuat dalam masa terdekat, beberapa nama besar mula mendominasi perbincangan politik negeri itu.

Ini juga memberi gambaran awal tentang bentuk kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan berkenaan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Antara paling mencuri tumpuan ialah nama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang sekali lagi disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor.

Bukan kali pertama nama beliau dikaitkan dengan jawatan tersebut sebaliknya menjelang PRN Johor 2022, Maszlee yang ketika itu baru menyertai PKR selepas meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut dilobi sebagai calon Menteri Besar sekiranya PH berjaya mengambil alih pentadbiran negeri.

Namun, percaturan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila beliau tewas kepada calon UMNO yang juga Menteri Besar Johor ketika ini, Datuk Onn Hafiz Ghazi di DUN Layang-Layang.

Dr. Maszlee Malik.- Foto AFFAN FAUZI, 06. NOVEMBER 2022.

Walaupun tewas, pengaruh politik Maszlee di Johor dilihat tidak terhenti di situ apabila namanya kembali berada dalam radar perbincangan menjelang PRN kali ini.

Bagaimanapun, MalaysiaGazette difahamkan masih terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen PH mengenai kesesuaian beliau untuk diketengahkan sebagai calon Menteri Besar.

Menurut sumber, ada pihak melihat pengalaman beliau sebagai bekas Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Simpang Renggam sebagai satu kelebihan yang mampu menarik sokongan pengundi.

Namun, terdapat juga pandangan yang berpendapat PH perlu menampilkan sosok pemimpin yang mempunyai penerimaan lebih menyeluruh dalam kalangan parti komponen dan jentera akar umbi.

Dalam masa sama, MalaysiaGazette difahamkan Amanah Johor tidak meletakkan nama Pengerusinya, Aminolhuda Hassan dalam senarai calon yang dikemukakan bagi menghadapi PRN Johor.

Sebaliknya, parti itu dijangka mempertaruhkan beberapa tokoh berpengalaman termasuk bekas Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang dilihat sebagai antara aset politik penting Amanah di negeri berkenaan.

Suhaizan bukan nama asing dalam politik Johor apabila pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor sebelum memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada September 2023.

Beliau juga dilihat mempunyai pengalaman pentadbiran yang luas dan kekuatan tersendiri dalam kalangan jentera parti di peringkat negeri.

MalaysiaGazette difahamkan nama Suhaizan berada dalam senarai untuk bertanding di DUN Larkin.

Suhaizan Kayat

Pada masa sama, Amanah dikatakan telah mengemukakan 19 nama calon, manakala PKR dijangka mempertaruhkan 20 calon, namun rundingan akhir masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

Antara kerusi yang menjadi tumpuan ialah Pemanis, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Kempas dan Bukit Naning.

DUN Puteri Wangsa pula dilihat sebagai simbol kompromi politik PH selepas Amanah dilaporkan akur apabila kerusi berkenaan diserahkan kepada PKR.

Keputusan itu menarik perhatian kerana Amanah sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mengambil semula kerusi tersebut susulan perubahan pendirian MUDA terhadap Kerajaan Perpaduan.

Turut menjadi perhatian ialah nama Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang dipercayai memainkan peranan penting dalam memuktamadkan rundingan kerusi dan percaturan akhir gabungan berkenaan.

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Apa yang jelas, PRN Johor kali ini bukan sekadar menyaksikan persaingan antara PH dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya menjadi pentas untuk melihat bagaimana PH menyusun semula hierarki kepimpinan di negeri itu.

Ketiadaan nama Aminolhuda dalam senarai calon yang dikemukakan turut menimbulkan persoalan sama ada Amanah sedang melakukan proses peralihan kepimpinan atau sekadar memberi laluan kepada tokoh lain yang dianggap lebih strategik.

Pada masa sama, kemunculan semula nama Maszlee sebagai calon Menteri Besar dan penglibatan aktif Suhaizan memberi bayangan bahawa PH sedang membentuk barisan kepimpinan baharu yang bakal menjadi wajah utama gabungan itu di Johor.

Persoalan yang tinggal kini bukan lagi siapa yang akan bertanding, tetapi siapakah yang akhirnya akan diberi kepercayaan untuk menerajui Johor sekiranya PH berjaya merampas semula negeri itu daripada BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast