MUAR – Rakyat muak melihat sebahagian besar parti politik yang bergaduh antara satu sama lain dan itu bukan perkara yang dimahukan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat kini semakin tertekan dengan pelbagai masalah kehidupan termasuk peningkatan kos sara hidup yang masih belum dapat ditangani dengan berkesan.
“Rakyat sentiasa menilai prestasi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri berdasarkan keupayaan mereka menyelesaikan isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri di sini malam ini.
Turut hadir Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Sementara itu, Muhyiddin berseloroh berkenaan warna pakaian yang menjadi perbualan menjelang majlis malam ini.
“Merah pun kita, biru pun rumah kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Beliau berkata, perbincangan mengenai sama ada penyokong perlu memakai baju merah atau biru bukanlah isu besar, sebaliknya mencerminkan semangat dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, merah merupakan warna rasmi Bersatu manakala biru sinonim dengan Perikatan Nasional (PN).
“Ramai bertanya nak pakai baju apa malam ini. Ada yang kata pakailah baju merah kerana itu warna Bersatu.
“Ada pula yang bertanya kenapa mesti pakai merah sedangkan kita berada dalam Perikatan Nasional.
“Tetapi tidak mengapa. Merah pun kita, biru pun rumah. Sampai bila-bila pun kita dalam PN,” katanya.
Pada 16 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu membuat keputusan kekal dalam PN dan akan menggunakan logo PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Pada Jumaat, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, dilaporkan berkata, Pas sepatutnya meninggalkan PN dan membentuk gabungan baharu menggunakan logo serta penjenamaan sendiri.
Beliau mendakwa Pas tidak pernah komited sepenuhnya kepada PN, selain parti itu juga terlibat dalam rundingan politik di luar gabungan berkenaan.- MalaysiaGazette
















