JOHOR BAHRU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan sedih melihat Pemangku Sultan Johor dihentam kiri dan kanan dalam media sosial sejak semalam.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu kesal kerana netizen mengaitkan kenyataan Tunku Mahkota Ismail dengan politik sekali gus secara tidak langsung mengheret institusi diraja dalam percaturan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

“Persaingan politik perlu dilakukan secara berintegriti dan tidak seharusnya menyeret pihak lain untuk berdepan serangan politik bagi pihak mana-mana pemimpin.

“Bila kita nak lawan, kita kena lawan secara berintegriti. Awak nak lawan, awak kena turun padang lawan, bukan minta orang lain lawan untuk awak.

“Awak kena lawan sendiri. Itulah seorang pemimpin yang berintegriti. Kalau tak kena lawan pun, minta presiden awak turun lawan.

“Jangan minta orang lain lawan untuk awak. Terutamanya, saya sangat kecewa. Saya lihat bila institusi raja-raja digunakan, ia tidak betul,” katanya.

Menteri Sumber Manusia itu berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Lindung Kerjaya MADANI 2026 di Setia Convention Hall, Setia Tropika di sini hari ini.

Beliau mengakui sedih melihat Pemangku Sultan Johor menjadi sasaran dan perkara tersebut tidak betul sama sekali sedangkan perkembangan politik semasa tidak ada kaitan dengan institusi raja.

Semalam, Pemangku Sultan Johor berkenan hadir pada sesi Podcast Bual Santai Petang bersama Orang Muda Johor di Muar yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam temu bual itu, Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan beberapa isu melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri antaranya membabitkan isu pemulangan hasil kepada negeri ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast