Gambar janaan AI yang mencetuskan kemarahan banyak pihak.

JOHOR BAHRU – Tindakan segelintir wanita DAP bukan Islam yang memakai tudung didakwa untuk ‘menghapuskan imej anti-Melayu parti’ itu dilihat memakan diri.

Bekas pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, ini kerana mereka kini menerima kritikan daripada kedua-dua pihak iaitu Melayu dan bukan Melayu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu berkata, sepatutnya DAP ‘menjadi diri sendiri’ dan tidak terlalu terlalu mengambil hati mana-mana kumpulan kaum untuk meraih sokongan.

DAP ujar beliau, sepatutnya memberi keutamaan kepada usaha berkhidmat kepada rakyat serta kekal mengatasi kontroversi kaum dan agama.

“Kini, sekurang-kurangnya di Johor, umat Islam merasakan agama mereka dipersendakan sebagai alat politik oleh DAP yang majoritinya bukan Melayu dan pada masa sama, bukan Melayu pula merasakan DAP bersikap hipokrit dalam perjuangan dengan pendirian yang tidak konsisten.

“Pendirian dan strategi saya jelas, kekal menjadi diri sendiri sebagai parti demokrasi sosial dan menyediakan naratif berkesan untuk menangkis fahaman fanatik agama, bukannya terpengaruh dengan naratif konservatif radikal mereka.

“Dengan kata lain, berkhidmatlah kepada rakyat dengan cara kita sendiri,” tulis beliau dalam Facebook miliknya.

Terdahulu satu hantaran gambar janaan kecerdasan buatan (AI) dalam Facebook yang memaparkan pemimpin wanita DAP Johor berbangsa Cina bertudung mencetuskan kecaman daripada pimpinan parti itu.

Mereka berang kerana ciptaan tersebut memberi gambaran seolah-olah DAP mengkhianati komuniti Cina demi meraih sokongan pengundi Melayu-Islam.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila seorang bekas ahli majlis pihak berkuasa tempatan di Johor yang ada kaitan dengan MCA berkongsi imej tersebut.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook turut mengecam hantaran itu sebagai sebahagian daripada taktik kotor yang didakwa digunakan MCA.

“Ini taktik lapuk yang saya rasa masyarakat akan tolak. Dia cuba menggambarkan seolah-olah DAP sekarang ini dah jual prinsip dan maruah.

“Tidak, kita (DAP) parti yang terus mainkan peranan sebagai parti berbilang kaum, kita terus tegas dalam pendirian kita, kita parti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast