Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh Berjaya Corporation Bhd (BCorp), Berjaya Securities Sdn Bhd (BSecurities) menjual keseluruhan pegangan sebanyak 8.64 peratus dalam Citaglobal Bhd kepada Detik Ria Sdn Bhd dengan harga RM42.56 juta.

Detik Ria dipengerusikan oleh Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif BCorp dan Pengarah BSecurities sekali gus menjadikan penjualan itu sebagai transaksi pihak berkaitan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BCorp memaklumkan BSecurities menjual sebanyak 46.76 juta saham biasa dalam Citaglobal kepada Detik Ria menerusi transaksi perniagaan secara langsung pada 19 Jun dengan harga RM0.91 sesaham.

“Berikutan penjualan itu, BSecurities tidak lagi menjadi pemegang saham Citaglobal,” menurutnya.

Kumpulan itu memaklumkan pertimbangan tunai bagi penjualan itu ditentukan berdasarkan harga pasaran semasa saham Citaglobal ketika urus niaga itu dilaksanakan.

Menurutnya penjualan itu membolehkan kumpulan berkenaan merealisasikan pelaburannya dalam Citaglobal, dengan hasil jualan akan digunakan sebagai modal kerja.

“Penjualan itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama BCorp.

“Penjualan itu juga tidak memberi kesan penting terhadap aset bersih, pendapatan dan tahap kadar hutang kumpulan BCorp bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 Jun 2026,” menurutnya.

Menurut BCorp, Tun Aminah sebagai pengarah yang mempunyai kepentingan dalam urus niaga itu tidak mengambil bahagian dalam semua perbincangan dan pengundian lembaga pengarah yang berkaitan dengan penjualan itu.

“Lembaga pengarah BCorp (kecuali Tunku Tun Aminah) berpendapat penjualan itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan,” menurutnya.

Menurut BCorp jawatankuasa audit syarikat itu berpandangan penjualan itu adalah adil, munasabah dan dijalankan berdasarkan terma komersial biasa untuk memenuhi kepentingan terbaik kumpulan.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast