Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul mengesahkan berlaku pertukaran kepimpinan dalam blok pembangkang apabila Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali memegang jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkuat kuasa 18 Jun lalu.

Perkara itu diumumkan Johari ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini sekali gus menjelaskan kedudukan terkini kepimpinan pembangkang selepas beberapa perubahan dalam tempoh sebulan kebelakangan ini.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Larut merupakan Ketua Pembangkang sehingga 20 Mei 2026 sebelum jawatan itu diambil alih oleh Ahli Parlimen Kemaman bermula 21 Mei hingga 10 Jun 2026.

“Yang Berhormat Larut adalah Ketua Pembangkang setakat 20 Mei 2026. Selepas itu Yang Berhormat Kemaman telah menjadi Ketua Pembangkang mulai 21 Mei hingga 10 Jun 2026 dan kini Yang Berhormat Larut mulai 18 Jun 2026 telah kembali menjadi Ketua Pembangkang. Tahniah Larut,” katanya pada sidang Parlimen hari ini.

Pengumuman tersebut disambut dengan perhatian ahli-ahli Dewan Rakyat susulan perkembangan terkini dalam landskap politik pembangkang yang menyaksikan perubahan kepimpinan dalam tempoh yang singkat.

Kenyataan Johari sekali gus mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Larut kini secara rasmi kembali mengetuai blok pembangkang di Parlimen selepas mengambil alih semula peranan berkenaan daripada Ahli Parlimen Kemaman.

Walaupun Johari tidak memperincikan faktor di sebalik perubahan tersebut, pengesahan rasmi di Dewan Rakyat itu menamatkan pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Ketua Pembangkang yang menjadi perhatian dalam kalangan pemerhati politik sejak beberapa minggu lalu.

Dengan kembalinya Ahli Parlimen Larut ke jawatan tersebut, tumpuan kini terarah kepada peranan yang bakal dimainkan beliau dalam mengetuai semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan sepanjang persidangan Parlimen akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast