Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menandatangani plak sebagai gimik perasmian Pembukaan Pejabat Baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 22 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini merasmikan Pejabat Baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS), sekali gus memperkenalkan model operasi metropolitan pertama di Kuala Lumpur yang menawarkan perkhidmatan lebih fleksibel dan berorientasikan pelanggan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembukaan cawangan baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan memenuhi keperluan rakyat.

Menurut beliau, pejabat yang terletak di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) itu menggantikan JPJ Cawangan Bandar Sri Permaisuri yang telah beroperasi sejak tahun 2006 dan berdepan kekangan ruang serta peningkatan permintaan perkhidmatan.

“Dengan keluasan melebihi 14,000 kaki persegi, cawangan baharu ini mampu mengendalikan sehingga 1,700 pelanggan sehari berbanding kira-kira 1,300 pelanggan sehari di lokasi terdahulu.

“Ini bukan sekadar sebuah pejabat baharu, tetapi satu transformasi cara kerajaan mendekati rakyat dengan menawarkan perkhidmatan sehingga jam 10 malam dan beroperasi tujuh hari seminggu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melakukan gimik perasmian Pembukaan Pejabat Baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 22 JUN 2026.

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Anthony Loke berkata, cawangan tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan digital termasuk kiosk layan diri, aplikasi MyJPJ dan penggunaan MyDigital ID bagi mempercepatkan transaksi serta meningkatkan keselamatan sistem penyampaian perkhidmatan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat Pejabat Baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan selepas merasmikannya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 22 JUN 2026.

Menurutnya, pendigitalan bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan dalam memastikan urusan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, mudah dan berkesan.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, pemilihan TBS sebagai lokasi baharu dibuat berdasarkan kedudukannya sebagai hab pengangkutan utama negara yang menawarkan akses lebih baik kepada pelanggan serta persekitaran yang lebih kondusif.

Beliau berkata, konsep Cawangan Metropolitan yang diperkenalkan memberi peluang kepada JPJ menawarkan pengalaman perkhidmatan yang lebih lancar, moden dan mesra pengguna.

Katanya, JPJ akan terus memperkukuh agenda transformasi perkhidmatan menerusi penerapan teknologi, inovasi dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan setiap perkhidmatan yang disampaikan memberi nilai tambah kepada rakyat. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast