Seorang jurutera maut selepas kereta dipandunya kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 57, Jalan Johor Bahru-Mersing di Kota Tinggi hari ini.

​KOTA TINGGI – Seorang jurutera maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 57, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai jurutera di Rapid Pengerang sedang dalam perjalanan dari arah Mersing menghala ke tempat kerjanya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian pada pukul 7.45 pagi itu mengorbankan Adi Sumindar Misuan yang berusia 45 tahun.

“Kemalangan maut itu melibatkan kereta Honda City dipandu mangsa dan sebuah bas jenis Scania dipandu lelaki tempatan berusia 45 tahun bersama-sama tiga penumpang warga Singapura.

“Siasatan awal mendapati bas pelancong tersebut pula dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Jeti Tanjung Gemok.

“Bagaimanapun, bas berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan kereta yang dipandu mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Katanya, pemandu bas serta tiga penumpang warga asing bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

​”Pemandu bas tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

​Jika sabit kesalahan, pemandu boleh dihukum penjara minimum lima sehingga 10 tahun, selain denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun.

​Pihak polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast