Dr. Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Lima universiti penyelidikan negara terus diperkasakan untuk menerajui penyelidikan bertaraf global dalam bidang kritikal seperti keterjaminan makanan, teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI), teknologi termaju dan kejuruteraan lanjutan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu dilakukan melalui pembentukan Konsortium Penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pemantapan peranan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE).

“Kepakaran rentas universiti ini digembleng bagi menangani isu-isu strategik negara seperti keterjaminan makanan, peralihan tenaga hijau, keselamatan siber dan rantaian bekalan semikonduktor berteknologi tinggi,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (Tanjung Piai-BN) berkenaan strategi KPT bagi memacu soal pembangunan penyelidikan (R&D) yang berimpak tinggi di institusi pengajian tinggi awam, dasar pembiayaan, mekanisme pemindahan penyelidikan ke industri dan KPI pengkomersilan inovasi dalam tempoh tiga tahun terakhir ini.

Zambry juga berkata, KPT menyediakan pelbagai dana dan geran penyelidikan termasuk Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS), Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS) dan Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS).

“Ia selaras dengan Lonjakan 6 Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM). KPT turut memperkenalkan Geran Penyelidikan Eksploratori dan Transformatif (GET) memberi tumpuan kepada penyelidikan kolaboratif dan inovasi yang mampu memperkukuh ekosistem penyelidikan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) kini berada di tangga ke-34 dari 133 negara.

“Ini sekali gus mencerminkan perkembangan positif ekosistem inovasi negara,” katanya.

Menurutnya, bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, KPT melaksanakan beberapa inisiatif berimpak tinggi seperti Malaysia Laboratories for Academia-Business Collaboration (MyLAB), Industry Matching Programme (IMaP) dan Public Private Research Network (PPRN).

“Melalui inisiatif ini, syarat kolaborasi dan pembiayaan bersama industri diwajibkan bagi memastikan hasil penyelidikan yang dibangunkan mempunyai nilai komersial serta memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Selain itu, kata Zambry, usaha memindahkan hasil penyelidikan universiti ke sektor industri turut diperkasakan melalui pelbagai mekanisme pemindahan teknologi.

“Antaranya pengukuhan pejabat pemindahan teknologi, latihan perlindungan harta intelek, rundingan pelesenan, strategi pemasaran teknologi dan program mobiliti penyelidik ke industri.

“Inisiatif Industry on Campus (IoC) terus diperluaskan bagi mempercepatkan proses penterjemahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan universiti,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian semasa, beliau berkata, keberkesanan strategi R&D&C&I universiti awam diukur menerusi Malaysia Research Assessment (MyRA).

“Sepanjang tempoh 2022 hingga 2024, lebih 200 produk hasil penyelidikan dan pembangunan telah berjaya dikomersialkan, manakala sebanyak 286 teknologi dan pengetahuan telah dilesenkan oleh 20 universiti awam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan KPT akan menganjurkan University Research Innovation and Investment Summit (URIIS) pada September ini sebagai platform nasional yang menghimpunkan universiti, pelabur dan pemain industri.

“Sidang kemuncak itu bertujuan mempercepatkan penghasilan penyelidikan yang berpotensi untuk dilaburkan.

“Ia sekali gus memacu inovasi barisan hadapan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi dan inovasi di rantau ASEAN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast