KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan surat pelantikan kepada Datuk Nadzirah Osman sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat dan kepada Datuk Zanariah Zainal Abidin sebagai Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland di Wisma Putra, hari ini.
Nadzirah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Universiti Malaya dan menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994.
Sebelum pelantikan itu, beliau merupakan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland sejak tahun 2023.
Beliau pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan Duta Besar Malaysia ke Belanda. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Mexico City, Mexico dan London, United Kingdom.
Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Alam Sekitar Pelbagai Hala.
Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Eropah Timur serta di Bahagian Amerika.
Manakala Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Zanariah berkelulusan Sarjana Dasar Awam dari Graduate School of International Politics, Jepun.
Beliau juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Aberystwyth University, Wales, United Kingdom dan menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1995.
Sebelum pelantikan itu, beliau merupakan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di Kementerian Luar Negeri sejak tahun 2021.
Beliau pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Republik Indonesia, selain berkhidmat di pejabat-pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Caracas, Republik Bolivar Venezuela dan Santiago, Republik Chile.
Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala, Setiausaha Bahagian Keselamatan Pelbagai Hala dan Pengarah di Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia. Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Wilayah dan Maritim, serta di Bahagian Ekonomi. -MalaysiaGazette
















