Mohd Shuhaily beramah mesra dengan peserta dalam Program Lapor Diri Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang membuat persiapan menghadapi pengoperasian Pintu Masuk Antarabangsa RTS Link Johor Bahru-Singapura yang dijadual beroperasi sepenuhnya mulai 31 Disember ini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pelbagai persediaan rapi sedang dilakukan dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Pengoperasian itu memerlukan pegawai yang cekap, profesional dan berintegriti tinggi bagi memastikan pengurusan sempadan negara berjalan lancar dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lapor Diri Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, seramai 431 pelatih AKPS memulakan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat di sini hari ini sebagai persediaan memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan negara.

Pengambilan itu katanya, merupakan sebahagian usaha kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) melahirkan pegawai penguat kuasa yang kompeten, berintegriti dan mampu menghadapi cabaran keselamatan sempadan yang semakin kompleks.

Beliau berkata, daripada 478 calon yang berjaya dipilih bagi Skim Penguasa Gred 1 dan Gred 5, seramai 441 orang menerima tawaran lantikan dengan 431 pelatih melapor diri hari ini manakala baki 10 orang dijadualkan berbuat demikian pada 28 Jun ini.

“Para pelatih perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perkhidmatan, termasuk godaan rasuah, salah guna kuasa dan pengaruh pihak berkepentingan yang boleh menjejaskan integriti.

“Hari ini kita sering dimomokkan dengan pelbagai isu disiplin, rasuah dan salah guna kuasa. Semua pegawai yang dipilih akan berdepan cabaran yang sama.

“Persoalannya ialah sejauh mana mereka mampu menolak perkara yang salah dan berdiri teguh mempertahankan kebenaran,” katanya.

Menurut Mohd Shuhaily, kursus yang berlangsung selama tiga bulan sehingga 30 September ini dirangka bagi membentuk pegawai yang mempunyai pengetahuan perundangan dan penguatkuasaan yang kukuh, keupayaan operasi yang cekap, disiplin tinggi serta ketahanan fizikal dan mental.

Katanya, para pelatih akan didedahkan kepada pelbagai aspek termasuk pengurusan dan kawalan pintu masuk negara, keselamatan sempadan, pengurusan risiko dan ancaman rentas sempadan, tatacara pemeriksaan serta penggunaan teknologi kawalan sempadan.

Beliau turut menegaskan bahawa integriti perlu menjadi teras utama dalam perkhidmatan AKPS memandangkan sempadan negara merupakan benteng pertama keselamatan dan kedaulatan Malaysia.

“Pemakaian uniform dan kuasa penguatkuasaan bukan sekadar simbol autoriti, tetapi amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa atau pelanggaran etika tidak akan sesekali dikompromi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast