GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mahu mengoptimumkan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memperkukuh operasi keselamatan dan menghadapi cabaran jenayah siber yang semakin berkembang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, penggunaan teknologi moden itu merupakan antara fokus utama pasukan polis dalam usaha meningkatkan keupayaan serta keberkesanan operasi di negeri berkenaan.
“Fokus pertama kita ialah mengoptimumkan penggunaan teknologi IT ataupun AI untuk membantu penguatkuasaan operasi keselamatan.
“Berkaitan dengan ini, kami (polis) sangat terbuka. Sekiranya mana-mana badan korporat yang mempunyai kelebihan dalam AI atau teknologi, kita boleh berbincang.
“Kita lihat apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan imej dan keupayaan Polis Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan pertamanya bersama pengamal media selepas memulakan tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang di sini.
Menurutnya, Pulau Pinang mempunyai sejarah tersendiri dalam pembangunan institusi kepolisan negara dan pasukan itu perlu bergerak seiring dengan perubahan landskap keselamatan semasa.
“Kita perlu berani berubah dan melakukan perubahan. Kita juga mesti faham bahawa pada masa hadapan, jenayah semakin merentas sempadan dan banyak melibatkan ruang siber,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan semua Ketua Polis Daerah (KPD) memastikan setiap laporan daripada orang awam diterima tanpa mengira pakaian, etnik atau latar belakang individu yang tampil mendapatkan bantuan.
Beliau berkata, anggota polis tidak boleh menolak mana-mana individu yang hadir ke balai polis terutama dalam situasi kecemasan, kemalangan, ancaman jenayah atau keadaan yang membahayakan nyawa.
“Saya mahu semua KPD memaklumkan kepada anggota masing-masing supaya tidak menolak orang ramai hanya kerana cara mereka berpakaian atau identiti etnik mereka kerana mereka mungkin berada dalam keadaan kecemasan dan memerlukan bantuan.
“Jika mereka datang ke balai polis dalam keadaan kecemasan sama ada kemalangan jalan raya, ancaman terhadap nyawa atau situasi berkaitan jenayah, kita mesti menerima laporan mereka. Kita tidak boleh menolak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















