JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mempertaruhkan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dengan tujuh daripadanya dikenal pasti sebagai sasaran kemenangan.
Sumber tertinggi Pakatan Harapan (PH) memberitahu MalaysiaGazette, tujuh kerusi berkenaan ialah DUN Bukit Naning; Pemanis; Senggarang; Bukit Batu; Tenggaroh; Kempas dan Puteri Wangsa.
Menurut sumber itu, kerusi-kerusi berkenaan dipilih berdasarkan kekuatan jentera akar umbi, penerimaan pengundi tempatan serta kerja lapangan yang telah dilakukan sejak sekian lama.
“Kerusi ini antara yang diberikan perhatian kerana kita melihat peluang kemenangan yang lebih baik.
“Selain jentera yang kuat, ada calon yang sudah lama bekerja di kawasan masing-masing dan diterima baik oleh penduduk tempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, DUN Kempas turut menjadi antara kerusi yang diberikan perhatian apabila Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezudin Puad dijangka dipertaruhkan di kawasan berkenaan.
Menurut sumber, pemimpin muda itu dilihat mempunyai kelebihan tersendiri menerusi penglibatannya yang aktif bersama jentera parti di peringkat negeri selain dekat dengan kelompok pengundi muda.
“Beliau antara pemimpin muda yang bekerja kuat dan dikenali dalam kalangan jentera parti.
“DUN Kempas dilihat mempunyai potensi yang baik dan menjadi antara kerusi yang diberikan tumpuan untuk dimenangi,” katanya.
Difahamkan, tumpuan pada PRN kali ini turut terarah kepada Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang dijangka memainkan peranan besar sebagai ‘jeneral perang’ dalam menyusun strategi dan menggerakkan keseluruhan jentera PH.
Walaupun beliau dikatakan mempunyai kapasiti dan pengalaman untuk bertanding, Dr Zaliha dipercayai memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memastikan kemenangan PKR dan PH di Johor.
Menurut sumber itu, pengalaman beliau sebagai pemimpin kanan parti dan anggota Kabinet dilihat menjadi antara kekuatan utama dalam menyelaras gerak kerja parti di seluruh negeri.
“Beliau mempunyai semua kapasiti untuk bertanding, namun pada kali ini peranannya lebih besar.
“Dr Zaliha bertindak sebagai ‘jeneral perang’ yang memastikan seluruh jentera bergerak seiring bagi mencapai kemenangan untuk PKR dan PH,” katanya.
Dalam pada itu, DUN Puteri Wangsa dijangka menjadi antara kerusi yang mencuri perhatian apabila bakal ditandingi bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Nama Maszlee sebelum ini turut disebut-sebut sebagai antara figura yang berpotensi diangkat sebagai Menteri Besar Johor sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri.
Bagaimanapun, perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu apabila nama beliau pernah dikaitkan sebagai calon Menteri Besar pada pilihan raya sebelum ini.
Walaupun terdapat pandangan berbeza dalam kalangan beberapa pihak, Maszlee masih dilihat sebagai antara tokoh yang mempunyai pengaruh tersendiri dan kekal menjadi antara nama yang mendapat perhatian dalam kalangan penyokong PH.
Untuk rekod, PKR akan bertanding di 20 kerusi DUN pada PRN Johor kali ini, manakala Amanah diperuntukkan 19 kerusi dan DAP pula akan bertanding di 17 kerusi, sekali gus melengkapkan keseluruhan 56 kerusi DUN di negeri itu.
Antara kerusi yang akan ditandingi PKR ialah DUN Buloh Kasap, Pemanis, Bukit Batu, Pulai Sebatang, Bukit Kepong, Gambir, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Senggarang, Layang-Layang, Endau, Tenggaroh, Pasir Raja, Kukup, Tanjung Surat, Puteri Wangsa, Johor Lama, Kempas dan Sri Medan.
Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengumumkan senarai penuh calon PH pada majlis di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak malam ini. -MalaysiaGazette
‘Tangan ghaib’ pusat ubah senarai calon PH Johor saat akhir?
















