KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini sekali lagi ‘tegang’ apabila Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan saling berbalas sindiran berhubung isu pematuhan peraturan Dewan dan dakwaan mengajak individu lain bertumbuk.
Awang memulakan pertikaian apabila menegur tindakan Mohd Sany yang didakwanya bangun bercakap tanpa memohon kebenaran mengikut aturan mesyuarat.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk “penyakit mental” dan mencadangkan agar individu yang terlibat mendapatkan bantuan kaunselor profesional.
Mohd Sany kemudian membalas dengan mengungkit insiden terdahulu yang dikaitkan dengan tindakan mengajak orang bertumbuk di dalam Parlimen.
“Itu pun sakit mental juga,” katanya.
Awang bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa beliau hanya mahu berbincang dengan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
“Bukan nak bertumbuk pun. Tapi persepsi ini dibina macam nak bertumbuk,” katanya.
Mohd Sany kemudian menyindir bahasa tubuh yang digunakan Awang ketika kejadian berkenaan dengan menunjukkan gaya dua tangan seperti orang bersedia untuk berlawan.
“Macam ini bincang ke? Ini joget ke bincang?” sindirnya yang mengundang reaksi daripada beberapa Ahli Parlimen lain.
Awang tidak berdiam diri dan menegaskan situasi tersebut sendiri menjadi contoh kepada masalah persepsi yang menurutnya semakin membimbangkan.
“Ini memang satu contoh mental yang agak kritikal,” katanya.
Pertikaman lidah itu menjadi antara insiden paling mencuri tumpuan dalam persidangan Dewan Rakyat hari pertama yang menyaksikan beberapa perdebatan panas melibatkan ahli kerajaan dan pembangkang. – MalaysiaGazette
















