WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengucapkan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, susulan laporan media yang mendakwa pemimpin itu merancang meletakkan jawatan dalam masa terdekat.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump menulis, Starmer akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom, namun tidak mengemukakan sebarang bukti atau maklumat yang menyokong dakwaan tersebut.
“Keir Starmer akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom. Saya mendoakan yang terbaik untuk beliau,” tulis Trump.
Kenyataan itu dibuat ketika beberapa media Britain melaporkan bahawa pemimpin Parti Buruh yang sedang berdepan tekanan politik dijangka mengumumkan peletakan jawatan dalam beberapa hari lagi.
Trump sebelum ini mengkritik Starmer kerana didakwa tidak menyokong tindakan ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran.
Dalam hantaran yang sama, Trump turut mengulangi kritikannya terhadap Starmer berhubung dua isu utama, iaitu imigresen dan dasar tenaga.
“Beliau gagal teruk dalam dua perkara yang sangat penting – IMIGRESEN dan TENAGA (BUKA SEMULA PENGELUARAN MINYAK DI LAUT UTARA!),” tulis Trump. – Agensi
















