KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam cubaan rejim Israel didakwa menggagalkan rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ketika ini susulan tindakan ketenteraan di Asia Barat walaupun memorandum persefahaman (MoU) antara Washington dan Tehran telah dimeterai.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan itu membimbangkan kerana keamanan di Asia Barat bukan sahaja penting kepada negara-negara di rantau berkenaan malah turut memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia.
Menurut beliau, walaupun AS dan Iran telah mencapai persefahaman awal menerusi MoU yang mengandungi 14 syarat utama serta tempoh 60 hari untuk proses ratifikasi, masih terdapat pihak yang dilihat tidak mahu konflik tersebut berakhir.
“Ada pihak yang tidak mahu melihat peperangan ini ditamatkan di Asia Barat iaitu Israel. Israel seboleh mungkin mahu melihat supaya Iran dimusnahkan.
“Maka ada pihak yang berkepentingan mahu menggagalkan rundingan damai antara Iran dan Amerika ini,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Tampin-BN, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian dan peranan Malaysia berhubung pengumuman MoU antara AS dan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan di Asia Barat.
Mohamad berkata, cubaan itu dapat dilihat dengan tindakan Israel yang masih meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan walaupun isu pengunduran dan penghentian pencerobohan menjadi antara perkara disentuh dalam MoU tersebut.
“Israel terus mengebom Lubnan. Apa isyarat yang mahu diberikan kepada dunia? Mereka tidak mahu melihat ketenteraman dan keamanan wujud di kawasan itu kerana mempunyai kepentingan tertentu,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomatik pelbagai hala termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan BRICS bagi meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel.
Jelasnya, tekanan berterusan perlu diberikan supaya Israel menghentikan pencerobohan di Lubnan, serangan terhadap Gaza serta tindakan di Tebing Barat Palestin.
“Kalau kita dapat sokongan lebih 140 negara dalam Perhimpunan Agung PBB, ia akan menjadi tekanan besar kepada Israel untuk menghentikan segala bentuk pencerobohan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, Malaysia menyokong sepenuhnya MoU antara AS dan Iran kerana kestabilan di Asia Barat.
“Ia amat penting bagi memastikan keselamatan laluan perdagangan antarabangsa termasuk Selat Hormuz yang menjadi nadi penghantaran minyak mentah dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















