Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menaikkan had maksimum tawaran kompaun bagi pelbagai kesalahan trafik daripada RM300 kepada RM500 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi jaminan semua pesalah tidak akan dikenakan kadar maksimum secara automatik.

“Ini kerana jumlah sebenar kompaun masih bergantung kepada jenis dan tahap kesalahan.

“Kerajaan memberikan tempoh peralihan yang panjang sebelum pelaksanaan penuh bermula pada 1 Januari 2029,” katanya ketika membentangkan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Antara kesalahan trafik terlibat termasuk memandu tanpa lesen sah, gagal mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan beberapa kesalahan lalu lintas lain.

Menurut beliau, semakan kadar kompaun bertujuan meningkatkan kesan pencegahan serta mengubah sikap pengguna jalan raya, bukannya untuk menambah hasil kerajaan.

“Kesalahannya sama tetapi hukumannya perlu relevan dengan keadaan semasa supaya mempunyai kesan pencegahan yang lebih berkesan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast