KUANTAN – Sebanyak 829 tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas dipercayai disimpan secara tidak sah dalam satu kawasan berpagar di Bentong, semalam.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, rampasan dibuat selepas serbuan oleh sepasukan anggota penguat kuasa ke lokasi terbabit hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu serta maklumat yang diterima dari orang awam.
“Hasil risikan membawa kepada pemeriksaan sebuah kawasan berpagar yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan LPG dan didapati semua tong LPG itu disimpan di dalam sebuah motolori semi trailer.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 829 tong LPG pelbagai kapasiti disimpan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Jezlily, siasatan awal mendapati premis tersebut tidak memiliki lesen atau sebarang kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan barang kawalan berjadual sebagaimana yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang.
Oleh yang demikian, KPDN Negeri Pahang katanya telah mengambil tindakan menyita LPG, tong LPG, dokumen berkaitan, sebuah motolori bersama semi trailer serta barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut bagi tujuan siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah
RM405,338.00.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 122] kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual di premis yang tidak dilesenkan atau tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya lagi.
Justeru, beliau memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyimpanan, pengedaran atau urus niaga barang kawalan berjadual yang menyalahi peruntukan undang-undang.
Tegasnya, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette















