Dennis Lim (depan) menunjukkan gambar kedua-dua mangsa serta suspek yang terlibat dalam kes tetak di sebuah tokong di Jelutong di sini, pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Perselisihan faham berhubung kecurian sebuah telefon bimbit dipercayai menjadi punca seorang lelaki diserang sekumpulan suspek sehingga cedera parah di sebuah tokong di Jelutong, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kejadian kira-kira jam 4 pagi itu dipercayai bermula apabila berlaku pertikaian antara mangsa berusia 31 tahun dengan sekumpulan lelaki di sebuah kelab.

Beliau berkata, mangsa didakwa mengambil telefon bimbit milik salah seorang suspek, namun siasatan awal mendapati telefon berkenaan sebenarnya tidak diambil  individu yang dituduh.

Susulan perselisihan itu, mangsa dipercayai diekori ke sebuah tokong di Jelutong sebelum diserang oleh kira-kira tujuh suspek.

“Seorang penjaga tokong berusia 64 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan turut diserang dalam kejadian berkenaan.

Parang yang digunakan suspek untuk menyerang kedua-dua mangsa.

“Impak serangan itu mengakibatkan mangsa putus jari telunjuk manakala penjaga tokong terbabit putus jari kelingking,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambah Dennis Lim, susulan kejadian tersebut, polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 38 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, termasuk sebilah parang, pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian, enam telefon bimbit, dua motosikal dan sebuah kereta bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kesemua suspek yang ditahan itu direman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B akta sama.

Antara suspek yang masih diburu suspek.

“Kita turut mengenal pasti identiti tiga lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Selain itu, kita juga sedang menyiasat kemungkinan penglibatan suspek dalam kegiatan gengsterisme dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast