Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap seorang anggotanya yang tular berikutan dakwaan menghina penduduk tempatan ketika melancong di China, baru-baru ini.

​Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata anggota berkenaan bagaimanapun masih bertugas seperti biasa pada masa ini.

“Saya meminta kepada semua pihak supaya bertenang dan PDRM akan menjalankan siasatan sebaik mungkin… bukan sahaja daripada sudut tatatertib, malah jika ada pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengingatkan semua pegawai dan anggota polis supaya sentiasa menjaga tatakelakuan ketika berada di dalam mahupun di luar negara memandangkan mereka tertakluk kepada peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) pasukan, walaupun tidak memakai uniform.

Kontroversi membabitkan seorang pempengaruh yang juga anggota polis itu turut mendapat liputan meluas media luar negara selepas dia didakwa menjerit perkataan tidak sepatutnya sambil menutup hidung di tempat awam di negara berkenaan.

Terdahulu, ​Mohd Khalid menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Ke-42 di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini.

Berhubung kebajikan pesara, beliau berharap agar kerajaan dapat menimbang semula untuk mengkaji kadar elaun perwira negara bagi membantu golongan itu mendepani cabaran kos sara hidup semasa.

Beliau berkata isu membabitkan elaun penerima darjah kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) itu turut dibangkitkan oleh Presiden RESPA Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin memandangkan kadar berkenaan tidak pernah disemak semula sejak 17 tahun lalu iaitu pada 2009.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast