Gambar ihsan PGA

KUANTAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan dan peralatan termasuk sisa elektronik (e-waste) bernilai lebih RM6 juta dalam serbuan di sebuah kilang penyimpanan dan peleraian e-waste di Gambang di sini semalam.

Serbuan kira-kira pukul 3.10 petang itu dijalankan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan menerusi Operasi Taring Wawasan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang serta Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner  Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai pengurus kilang tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai barangan termasuk 20 tan barangan elektronik, lima tan papan induk komputer (PC motherboard), minyak transformer, diesel, peralatan penyedut minyak, lampu HPSV, switchgear dan tangki simpanan.

“Lelaki terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barangan yang berada di premis tersebut sebelum ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati semua barangan berkenaan adalah milik sebuah syarikat yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2, Kelantan.

Kesemua barangan itu dipercayai dibawa ke lokasi tersebut sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum dihantar semula ke Kelantan untuk proses peleraian komponen.

“Individu yang ditahan itu memaklumkan bahawa sebahagian barangan itu merupakan aset yang telah dilupuskan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum dibawa ke kilang berkenaan,” katanya.

Jelas Ahmad Radzi, rampasan dan tangkapan akan diserahkan kepada JAS, KPDN dan MBK untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.

Sementara itu, katanya, MBK pula akan menyita keseluruhan barangan di premis berkenaan kerana dipercayai menjalankan operasi tanpa lesen dan permit yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bekalan 1961, Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 2 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 1992. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast