Sebahagian daripada pelajar baharu Politeknik Sultan Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) merekodkan kemasukan tertinggi seramai 1,108 pelajar baharu bagi sesi I 2026/2027, sekali gus menunjukkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi pilihan.

Pengarah Politeknik Sultan Idris Shah, Haslinda Abd Hamid berkata, peningkatan kemasukan pelajar ke PSIS selari dengan perkembangan positif sektor TVET di peringkat nasional yang semakin mendapat kepercayaan masyarakat.

“Kesedaran ibu bapa terhadap potensi TVET sebagai laluan pendidikan dan kerjaya telah menyumbang kepada pertambahan jumlah pelajar yang memilih institusi TVET selepas menamatkan persekolahan,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu turut menyokong aspirasi kerajaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 650,000 pelajar mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional di 1,395 institusi TVET di seluruh negara menjelang 31
Disember tahun ini.

Tambahnya, pencapaian PSIS merekodkan kemasukan jumlah pelajar baharu itu turut memperkukuh keyakinan terhadap TVET, apabila institusi ini mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98.90 peratus pada tahun 2025, sekali gus
membuktikan keberkesanan program pengajian yang ditawarkan dalam memenuhi keperluan industri semasa.

“Angka kebolehpasaran 98.90 peratus ini jelas menunjukkan graduan PSIS bukan sahaja tamat pengajian, malah berjaya memasuki alam pekerjaan atau melanjutkan pengajian, sekali gus mengukuhkan lagi kepercayaan ibu bapa terhadap TVET,”
katanya.

Dalam tinjauan pada hari pendaftaran, rata-rata ibu bapa yang hadir bersama anak masing-masing menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana anak mereka berjaya melanjutkan pengajian di institusi TVET.

Sementara itu, suasana pendaftaran pelajar baharu berlangsung lancar dengan kehadiran ibu bapa yang memberikan sokongan penuh kepada anak-anak mereka memulakan perjalanan sebagai mahasiswa.

PSIS adalah institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang terbuka kepada individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan terbuka kepada semua tanpa peringkat umur yang menawarkan 10 program Diploma dan 1 program Asasi Teknologi Kejuruteraan berdasarkan permintaan industri keperluan semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast