Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk SeriMuhammad Sanusi Md Nor bercakap pada media selepas Mesyuarat agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur. Foto AIZAZT ZAINAL, 23 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan berjalan lancar tanpa sebarang pertelingkahan antara parti komponen, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi gabungan itu yang melibatkan parti-parti komponen PN berlangsung dalam suasana baik dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam proses rundingan.

“Bab pembahagian kerusi semua okey, smooth (lancar), akan disambung semula esok pagi,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat rundingan kerusi PN, hari ini.

Sanusi berkata, proses rundingan yang berlangsung bukan melibatkan perebutan atau perbalahan seperti yang digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya ia hanyalah proses biasa dalam menentukan pembahagian kerusi.

“Rundinglah, bukan gaduh. Itu wrestling. Kita main runding, mana ada wrestling.

“Tak ada. Rundingan saya smooth. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua parti yang hadir,” katanya.

Beliau berkata, rundingan bersama komponen PN akan diteruskan jam 10 pagi esok bagi melengkapkan proses pembahagian kerusi sebelum keputusan akhir dibuat, Khamis depan.

Sementara itu, ditanya mengenai penyertaan parti baharu Parti Cinta Malaysia (PCM) ke dalam PN, Sanusi berkata perkara itu akan dinilai berdasarkan rundingan antara parti terlibat.

“Sebab sudah diputuskan dalam mesyuarat dengan undian. Saya tidak mahu jawab apa-apa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan isu penggunaan logo PN tidak dibangkitkan dalam mesyuarat dan keputusan mengenainya dibuat menerusi proses dalaman gabungan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast