Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menuntut ganti rugi yang setimpal terhadap Norway berkaitan pembatalan kontrak perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) bagi projek kapal misi pesisir (LCS) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) , Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini kerana kerajaan telah menjelaskan bayaran mencecah 95 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan.

Menurut beliau, kerajaan perlu memanfaatkan sepenuhnya ruang rundingan damai atau prosiding perundangan mengikut terma-terma kontrak yang telah dipersetujui.

“PAC pada 23 Jun 2026 telah menerima taklimat khas daripada Mindef bagi mendapatkan perincian menyeluruh mengenai tindakan Kerajaan Norway menarik balik serta membatalkan lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang diperuntukkan bagi projek Littoral Combat Ship (LCS). 2.

“Susulan penjelasan tersebut, jawatankuasa ini menzahirkan kegusaran serius memandangkan kerajaan telah menjelaskan bayaran mencecah 95 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan.

“PAC menegaskan agar kerajaan memperkukuh segala langkah mitigasi dan diplomasi bagi menjamin penyelesaian yang adil serta memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara.

“Adalah menjadi harapan PAC agar pihak kerajaan memberikan komitmen sepenuhnya dalam memantau garis masa penyerahan LCS supaya LCS dapat disiapkan dengan sistem pertahanan yang lengkap dengan fungsi tempur yang sempurna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Pertahanan menghantar notis tuntutan berjumlah kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan berkenaan susulan pembatalan kontrak perolehan NSM.

Malaysia dilaporkan akan menggunakan saluran diplomatik berhubung pembatalan kontrak perolehan tersebut selepas perubahan dasar kerajaan Norway berkaitan eksport senjata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast