Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita S. Khan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Negarawati Tanahair menggesa kerajaan dan rakyat Malaysia mempertahankan asas kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menolak sebarang usaha menghakis identiti serta kestabilan negara.

Pengerusinya, Bibi Sunita S. Khan mendakwa, beberapa isu timbul sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat khususnya berkaitan agama, bahasa, institusi raja dan hak-hak Bumiputera.

“Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Institusi Raja-Raja Melayu dan hak Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial tidak seharusnya dijadikan bahan rundingan politik.

“Perkara ini bukan sekadar dasar pentadbiran yang boleh diubah mengikut kehendak mana-mana parti politik sebaliknya merupakan tunjang kepada pembinaan negara bangsa Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Bibi Sunita, pelbagai polemik timbul sejak beberapa tahun kebelakangan ini hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Ini termasuklah isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), perbahasan berkaitan ICERD dan Statut Rom, kontroversi Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), peruntukan kepada sekolah vernakular dan rumah ibadat tertentu serta beberapa isu lain yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya,” katanya.

Bibi Sunita berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah kewujudan corak pemikiran dilihat semakin berani mencabar asas-asas kenegaraan yang dipersetujui oleh para pengasas negara ketika mencapai kemerdekaan.

“Malaysia dibina atas semangat muafakat, toleransi dan penghormatan terhadap realiti sejarah negara ini bukannya atas konsep asimilasi mutlak atau liberalisme tanpa sempadan,” katanya.

Beliau menegaskan, mana-mana pihak yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh dan tidak memilih hanya bahagian dianggap selari dengan ideologi politik masing-masing.

“Negarawati menolak sebarang usaha menghakis kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, melemahkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, mengganggu hak-hak Bumiputera serta mengubah identiti nasional dipersetujui sejak merdeka.

“Kami rasa bimbang terhadap dasar pembangunan bandar didakwa boleh menyebabkan komuniti asal terpinggir serta penularan fahaman liberalisme dan pluralisme dianggap bercanggah dengan acuan kenegaraan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan agar lebih tegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara serta tidak tunduk kepada sebarang tekanan yang boleh menjejaskan asas pembentukan negara.

“Perpaduan nasional tidak akan lahir melalui paksaan ideologi, tetapi melalui penghormatan terhadap sejarah, Perlembagaan dan identiti negara.

“Malaysia tidak memerlukan eksperimen politik yang mempertaruhkan masa depan agama, bangsa dan negara. Negara berdiri teguh apabila tiang serinya tidak diganggu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast