Gambar hiasan

KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap kegiatan penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai pegawai jabatan itu bagi membuat tempahan barangan.

JAS Pahang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima aduan terdapat beberapa peniaga yang mengalami kerugian selepas dipercayai diperdaya oleh individu yang menggunakan nama dan identiti pegawai jabatan tersebut.

Katanya, JAS Pahang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan individu atau pihak yang terlibat dalam kegiatan penipuan berkenaan.

“JAS Negeri Pahang memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan nama jabatan bagi memperdaya orang awam,” katanya.

Justeru, orang ramai dinasihat supaya sentiasa berhati-hati dan membuat semakan dengan pihak jabatan sekiranya menerima sebarang komunikasi atau tawaran yang menggunakan nama JAS, khususnya yang melibatkan urusan kewangan atau transaksi pembayaran.

JAS Pahang turut menjelaskan bahawa segala urusan rasmi dengan jabatan itu hanya dilaksanakan melalui saluran komunikasi dan prosedur rasmi yang ditetapkan.

Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penipuan menggunakan nama JAS Pahang disaran segera membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast