KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melanjutkan tempoh pelaksanaan Ops Kesan sehingga 30 Jun depan bagi memberi ruang tambahan kepada majikan yang masih belum mendaftarkan serta mencarum pekerja mereka untuk tampil secara sukarela.
PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelanjutan itu selaras dengan usaha berterusan memperluas liputan perlindungan sosial kepada semua pekerja di Malaysia, berteraskan prinsip “no one left behind”.
Bermula 1 Jun lalu, PERKESO turut memperluaskan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dengan menyediakan perlindungan 24 jam kepada pekerja bagi kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan, selain mengekalkan pendekatan advokasi, pendidikan dan khidmat nasihat sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
Pelanjutan Bulan Pemutihan itu juga mengambil kira tempoh perayaan Aidiladha, cuti umum Hari Wesak serta Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memberi peluang kedua kepada majikan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara melalui perlindungan sosial yang komprehensif.
Menurut PERKESO, sejak pelancaran Bulan Pemutihan 2026, sebanyak 5,289 majikan telah berdaftar melibatkan 30,632 pekerja tempatan dan 14,428 pekerja asing.
Dalam tempoh sama, sebanyak 609 notis Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) di bawah Akta 4 dan Akta 800 melibatkan majikan baharu berjumlah RM33,630 telah dikecualikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pelanjutan itu turut mengambil kira pelaksanaan Portal ASSIST 2.0 yang bakal diperkenalkan dengan pelbagai penambahbaikan bagi meningkatkan kemudahan serta kecekapan urusan majikan.
“PERKESO akan terus membimbing majikan dalam memahami keperluan skim ini. Selepas tamat tempoh Ops Pemutihan pada 30 Jun 2026, Ops Kesan akan dipergiatkan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan akta yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menegaskan, kegagalan majikan untuk mematuhi keperluan pendaftaran dan caruman boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun, Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) serta pendakwaan di mahkamah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette
















