MELAKA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak supaya tidak memanaskan suhu politik negara susulan polemik membabitkan kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yang didakwa menyentuh isu berkaitan institusi raja.
Perdana Menteri berkata, kenyataan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu itu perlu dilihat sebagai pandangan politik semata-mata dan tidak wajar diperbesar sehingga mengheret institusi raja ke dalam gelanggang politik kepartian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Anwar berkata, hubungan dan persefahaman antara kerajaan Persekutuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail juga berada dalam keadaan baik hasil perbincangan yang berlangsung sebelum ini.
“Kita usah panaskan suasana. Dia (Mohamad Sabu) beri pandangan. Saya ada perbincangan sangat baik dengan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan sangat baik persefahaman kami.
“Jadi, kita jalankan pilihan raya ini biar antara parti dan jangan kaitkan institusi raja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi yang tercetus susulan ucapan Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sehingga mengundang pelbagai reaksi termasuk mendakwa ia mempunyai unsur sindiran terhadap Tunku Ismail.
Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam ucapannya memuji penjawat awam negara kerana berjaya meningkatkan prestasi Malaysia dalam World Competitiveness Index.
Anwar berkata, peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan menerima pujian daripada Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov ketika kunjungannya ke negara berkenaan baru-baru ini.
“Presiden (Serdar) sebut World Competitiveness Index you have performed so well. Saya kata terima kasihlah, tapi saya tahu ini berlaku kerana pasukan perkhidmatan awam.
“Because the efficiency and the service is not by me alone, but is by the entire team in the whole country,” katanya. – MalaysiaGazette
















