Screenshot

KAJANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan melaksanakan Uji Lari Siren Sistem Amaran Awam (PWS) di sekitar agensi itu di Sungai Merab, di sini jam 10 pagi, 30 Jun ini.

Menurut APM, ia bagi memastikan sistem amaran tersebut sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan bersedia digunakan ketika kecemasan atau bencana.

“Pengujian itu merupakan sebahagian daripada prosedur penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala yang dilaksanakan.

“Ia bagi menjamin keberkesanan siren dalam menyampaikan maklumat kecemasan kepada masyarakat secara pantas dan tepat,” kata APM menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut APM, pelaksanaan uji lari itu penting bagi memastikan semua komponen Sistem Amaran Awam berfungsi dengan sempurna serta mampu digunakan secara optimum sekiranya berlaku sebarang insiden yang memerlukan amaran segera kepada penduduk.

“Pengujian ini adalah sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan APM dalam memastikan sistem amaran awam sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana atau kecemasan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, APM menasihati orang ramai supaya tidak panik atau cemas sekiranya mendengar bunyi siren sepanjang tempoh ujian dijalankan.

“Lokasi siren itu meliputi lingkungan kira-kira lima kilometer termasuk di kawasan Bandar Baru Bangi, Sungai Merab Luar dan Kampung Abu Bakar Baginda,” katanya.

APM menjelaskan, ujian tersebut hanyalah latihan teknikal dan tidak melibatkan sebarang situasi kecemasan sebenar.

“APM menggalakkan masyarakat setempat untuk mengambil peluang mengenali fungsi dan peranan Sistem Amaran Awam sebagai medium penyampaian maklumat kecemasan.

“Selain itu, masyarakat setempat boleh meningkatkan tahap kesedaran serta kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi bencana,” katanya.

APM turut menegaskan usaha berterusan dalam penyelenggaraan dan pengujian sistem amaran adalah penting bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi yang memerlukan tindakan pantas daripada pihak berkuasa dan orang ramai.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pejabat APM berhampiran atau melalui saluran media sosial rasmi agensi berkenaan,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast