MUAR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Abd Mutalip yang pernah mewakili kerusi DUN N27 Layang-Layang selama dua penggal berkata, keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Malah beliau turut mengesahkan akan bertanding semula di kerusi berkenaan atas tiket Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
“Saya mengumumkan untuk keluar daripada parti UMNO bermula saat ini dan menyertai Bersatu di bawah Perikatan Nasional.
“Insya-Allah pada kali ini saya juga akan menjadi calon bagi N27 Layang-Layang pada PRN Johor ke-16,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh di sini malam ini.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan dan permintaan pengundi di kawasan berkenaan yang mahu beliau terus mewakili mereka.

Katanya, faktor komposisi pengundi Melayu yang menghampiri 60 peratus di Layang-Layang turut menjadi antara pertimbangan utama.
“Pengundi-pengundi saya sering bertanya kenapa tidak ada calon daripada kalangan orang Melayu yang diletakkan oleh parti-parti yang bertanding.
“Saya sebenarnya sudah rasa penat dan tidak berhasrat untuk menjadi calon lagi, tetapi atas tanggungjawab demi agama, bangsa dan pengundi-pengundi yang meminta saya terus mewakili mereka, saya membuat keputusan ini,” katanya.
Abd Mutalip berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa tindakannya berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas tidak dicalonkan semula oleh UMNO.
Mengulas hubungan dengan kepimpinan UMNO, beliau menegaskan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap parti yang pernah dianggotainya itu.
“Saya melepaskan segala-galanya tanpa ada apa-apa paksaan. Rasa benci tidak ada. Kami tetap kawan.
“Parti politik hanyalah platform untuk berkhidmat. Bukan untuk menunjukkan siapa yang terbaik atau paling bagus. Kita hanya berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.
Bekas Exco Kerajaan Johor itu turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO serta memohon maaf kerana tidak lagi dapat bersama parti tersebut.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti saya yang terdahulu dan memohon jutaan ampun serta maaf kerana tidak dapat bersama-sama lagi dengan parti saya yang dahulu,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, 7 Julai sebagai hari pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor ke-16. – MalaysiaGazette

















adun yang macam ni buat menyemak aje. UMNO takbperlu simpan sampah. Berambus lah