KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) mewajibkan kesemua 15 calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan secara akuan bersumpah, selain menandatangani beberapa aku janji termasuk bon penalti RM2 juta.
Menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini, langkah itu diambil bagi memperkukuhkan budaya integriti dan akauntabiliti dalam politik.
Menurut mereka, selain pengisytiharan harta, setiap calon turut diwajibkan menandatangani empat aku janji secara akuan bersumpah serta satu surat peletakan jawatan bersyarat sebelum diumumkan sebagai calon rasmi parti.
“Calon-calon Bersama akan turut menandatangani empat aku janji secara Akuan Bersumpah dan satu surat peletakan jawatan secara bersyarat.
“Aku janji untuk meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri apabila dipecat dan berhenti sebagai ahli Bersama serta surat peletakan jawatan yang siap ditandatangani dan dipegang oleh Bersama,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, calon juga perlu menandatangani aku janji untuk memulangkan wang deposit pilihan raya yang dibayar oleh parti, mengesahkan kelayakan mereka untuk bertanding serta mengisytiharkan kedudukan kewangan masing-masing secara terperinci.
Lebih menarik, semua calon dikehendaki bersetuju dengan bon penalti RM2 juta sekiranya melanggar syarat tertentu termasuk melompat parti, gagal menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau tidak memenuhi komitmen yang telah dipersetujui.
Menurut Bersama, kesemua 15 calon telah bersetuju untuk menandatangani dokumen berkenaan dan akuan bersumpah tersebut dijangka diserahkan sepenuhnya kepada parti sebelum pukul 12 tengah hari esok.
Pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan calon-calon berkenaan akan dimuat naik ke laman sesawang parti dan dibuka kepada penelitian umum mulai jam 10 malam, Jumaat.
Orang ramai juga akan diberikan akses untuk meneliti latar belakang pendidikan, kerjaya, aktiviti kemasyarakatan serta kedudukan kewangan setiap calon sebelum membuat penilaian terhadap mereka.
Calon-calon Bersama dijadual diumumkan pada pukul 8 malam esok di Paragon Market Place, Johor Bahru bersempena pelancaran Trak Kancil yang akan digunakan sepanjang kempen PRN Johor.
Dalam pada itu, Bersama turut menggesa parti-parti lain yang bertanding pada PRN Johor supaya mengisytiharkan harta calon masing-masing bagi mengukuhkan amalan politik berintegriti, selain berjanji akan mendedahkan sumber dana dan perbelanjaan kempen parti selepas pilihan raya berakhir. – MalaysiaGazette
















