Baderul Amin Abdul Hamid menunjukkan papan tanda larangan penjaja di kawasan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam di sini, hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menguatkuasakan larangan aktiviti penjajaan dalam lingkungan 40 meter dari kawasan sekolah di seluruh Seberang Perai bermula tahun depan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, langkah itu selaras dengan Garis Panduan Aktiviti Penjajaan di Luar Pagar Sekolah yang diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, keputusan itu dibuat susulan maklum balas dan aduan daripada pihak sekolah serta ibu bapa berhubung aktiviti penjajaan di luar pintu pagar sekolah, khususnya membabitkan penjualan makanan dan minuman tidak sihat, isu kebersihan makanan serta aspek keselamatan murid.

“Penguatkuasaan penuh akan dilaksanakan di seluruh Seberang Perai mulai tahun depan.

“Sehingga penghujung tahun ini, kita akan memberi tumpuan kepada pendidikan, advokasi dan pematuhan secara sukarela sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang masih ingkar terhadap peraturan ditetapkan,” katanya selepas program pelaksanaan garis panduan berkenaan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Perda di sini, hari ini.

Baderul Amin Abdul Hamid.

Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan MBSP termasuk pemasangan papan tanda larangan menjaja dalam zon larangan 40 meter, pengedaran risalah maklumat kepada penjaja, sesi libat urus bersama pihak sekolah dan komuniti setempat serta pemantauan berkala oleh pegawai penguat kuasa dan kesihatan persekitaran.

Baderul Amin berkata, MBSP turut memperkenalkan sistem penandaan permit penjaja bagi merekod, mengenal pasti dan mengurus aktiviti penjajaan secara lebih sistematik di lokasi yang dibenarkan, khususnya selepas larangan itu dikuatkuasakan.

“Setakat ini seramai 554 penjaja telah mendaftar di bawah sistem berkenaan dengan 194 daripadanya sudah melengkapkan proses pendaftaran.

“Lebih 1,800 penjaja tanpa lesen dianggarkan beroperasi di seluruh Seberang Perai.

“Sistem penandaan permit ini dikenakan bayaran RM60 sebulan dan bertujuan membantu penjaja menjalankan perniagaan secara lebih tersusun di lokasi yang ditetapkan selain memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Tambah beliau, terdapat 241 sekolah di seluruh Seberang Perai dengan purata kira-kira 10 penjaja beroperasi di sekitar setiap sekolah.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah sebenar sukar ditentukan kerana ramai penjaja beroperasi secara tidak tetap.

“Pendekatan MBSP bukan semata-mata berasaskan penguatkuasaan, sebaliknya bertujuan mengimbangi kepentingan ekonomi penjaja dan keperluan menyediakan persekitaran yang selamat serta kondusif kepada murid.

“Kita mahu penjaja tampil, mendaftar dan berurusan dengan MBSP supaya lokasi yang sesuai dapat dikenal pasti. Kita mencari penyelesaian menang-menang yang tidak menjejaskan mata pencarian mereka, pada masa sama mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko keselamatan di kawasan sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast