KUANTAN – Pembinaan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang akan diteruskan seperti perancangan asal di Kota SAS, di sini selepas isu berkaitan tapak projek dimuktamadkan.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis Redzuan Abd Hamid berkata, peruntukan sudah disediakan bagi pembinaan bangunan itu.
“Saya difahamkan, isu berkaitan tanah bagi projek tersebut telah diselesaikan, jadi saya akan usahakan agar projek itu berjalan semula sebelum saya bersara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjek (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Beliau berkata, peruntukan bagi projek pembinaan bangunan baharu IPK Pahang dianggarkan lebih RM300 juta.
Redzuan dalam masa sama berharap agar Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob juga dapat meneruskan usaha memastikan pembinaan IPK Pahang di KotaSAS berjalan lancar.
Azry hari ini dilantik Pemangku Ketua Polis Pahang dalam Istiadat Majlis Serah Terima Tugas selepas Datuk Seri Yahaya Othman bersara wajib bermula esok.
Sebagai rekod, Yahaya telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama hampir 40 tahun dan memimpin kontinjen Pahang sejak 10 Mei 2023. – MalaysiaGazette
















