GEORGE TOWN – Seorang pendawai elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap abangnya menggunakan sebilah parang, minggu lalu.
Tertuduh, Chan Kin Yean, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Chan Kim Seong, 65, menggunakan sebilah parang sepanjang 48 sentimeter yang jika digunakan sebagai senjata bagi melakukan kesalahan berkemungkinan menyebabkan kecederaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kebun, Lot 71, Mukim 14, Jalan Paya Terubong di sini, jam 3.30 petang, pada 21 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, hukuman penjara boleh ditingkatkan sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan berkenaan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli memohon jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi dan mangsa dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Cheah Eng Soon, yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pendawai elektrik dan masih bujang.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,500 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Ogos depan bagi lantikan peguam.
Difahamkan, mangsa masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada Selasa lalu melaporkan seorang lelaki warga emas cedera parah selepas ditetak oleh adiknya menggunakan parang dalam kejadian di sebuah rumah kebun buah-buahan di Paya Terubong di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa berusia 65 tahun datang ke lokasi berkenaan untuk melawat kebun durian sebelum mendapati beberapa barangan di rumah kebun tersebut mengalami kerosakan.
Jelas beliau, mangsa kemudian menegur suspek berusia 62 tahun berhubung kerosakan itu sebelum berlaku pertengkaran mulut antara dua beradik tersebut.
“Susulan itu, suspek dikatakan bertindak mengambil sebilah parang lalu menetak mangsa sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan pada jam 6.30 petang di belakang rumah tempat kejadian selain direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette















