GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas cedera parah selepas ditetak oleh adiknya menggunakan parang dalam kejadian di sebuah rumah kebun buah-buahan di Paya Terubong di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa berusia 65 tahun datang ke lokasi berkenaan untuk melawat kebun durian sebelum mendapati beberapa barangan di rumah kebun tersebut mengalami kerosakan.
Jelas beliau, mangsa kemudian menegur suspek berusia 62 tahun berhubung kerosakan itu sebelum berlaku pertengkaran mulut antara dua beradik tersebut.
“Susulan itu, suspek dikatakan bertindak mengambil sebilah parang lalu menetak mangsa sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Impak kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan pada jam 6.30 petang di belakang rumah tempat kejadian dengan bantuan unit pengesan K-9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Jun bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya. – MalaysiaGazette
















