KUALA LUMPUR – Trend kehilangan pekerjaan kekal terkawal iaitu sebanyak 6,197 pekerja setakat 22 Jun 2026 iaitu merangkumi sekitar 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, angka itu berkurang sebanyak 20 peratus berbanding 7,766 orang kehilangan pekerjaan pada Mei lalu.
Pada masa yang sama kata beliau, usaha penempatan semula pekerjaan turut menunjukkan perkembangan positif.
“Sehingga 12 Jun 2026, MYFutureJobs merekodkan peningkatan penempatan sebanyak 55 peratus iaitu daripada 12,119 orang pada April 2026 kepada 18,756 orang yang menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan bagi 2026 adalah 62,644 orang.
“Angka ini meliputi pencari kerja melalui portal MYFutureJobs serta penerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan di mana perkembangan ini menunjukkan intervensi Kerajaan bukan sahaja menyediakan sokongan sementara, malah membantu pekerja yang terjejas untuk kembali bekerja dengan lebih cepat,” katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Syahir Che Sulaiman yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan langkah mitigasi yang telah diambil melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi global, serta hasil pelaksanaannya setakat ini.
Akmal Nasrullah menegaskan, kerajaan tidak menafikan bahawa terdapat tekanan kepada pekerja dan perniagaan khususnya dalam sektor tertentu terutama erusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Namun katnya melalui MTEN, kerajaan akan terus bertindak secara tersusun, bersasar dan berasaskan data supaya pekerja dilindungi, perniagaan disokong dan pertumbuhan ekonomi negara terus memberi manfaat kepada rakyat.
“Berdasarkan intervensi bersepadu yang dilaksanakan dalam tempoh empat bulan ini, landskap pasaran buruh dan perniagaan kekal berdaya tahan dan berada dalam keadaan terkawal sepanjang suku pertama dan kedua tahun 2026.
“Setakat April 2026, jumlah tenaga buruh negara meningkat kepada 17.33 juta orang, manakala penduduk bekerja terus meningkat kepada 16.82 juta orang.
“Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada paras 70.9 peratus dan tidak berubah daripada bulan sebelumnya mencerminkan kestabilan aktiviti ekonomi semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















