Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto SADIQ SANI, 16 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, parti itu mampu bergerak sendiri menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana memiliki jentera yang ramai dan terlatih.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu yakin mampu menggerakkan kempen dengan kekuatan sendiri apabila menerima sokongan luar biasa daripada sukarelawan, khususnya golongan belia serta mahasiswa.

“Alhamdulillah jentera Bersatu cukup ramai dan terlatih. Kami juga mendapat sambutan yang luar biasa daripada sukarelawan dalam kalangan belia dan mahasiswa.

“Jenama Bersatu memang berjaya menarik sokongan rakyat yang mahukan perubahan dengan kepimpinan yang berilmu dan bijak mengurus ekonomi serta membangun negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini bahawa parti itu tidak akan membantu calon Bersatu pada pilihan raya berkenaan pada PRN Johor yang bermula esok.

Beliau berkata, Pas sudah membatalkan kerjasama politik dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua jentera parti akan bergerak berasingan, walaupun parti itu mendesak untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Azmin berkata, parti itu kini lebih memberi tumpuan kepada gerak kerja di lapangan bagi menyantuni rakyat berbanding melayan polemik politik.

“Kami sedang sibuk di lapangan dan menyantuni rakyat yang susah dan memerlukan perhatian dan pertolongan. Kami tiada masa untuk berpolitik.

“Pelbagai isu ekonomi sedang kami tanggani melalui kebijakan dan dasar Bersatu yang progresif dan prihatin rakyat,” katanya.

Pada PRN Johor bulan depan, Pas hanya meletakkan calonnya untuk bertanding di 11 kerusi DUN.

Manakala Bersatu bertanding di 16 kerusi, lima kerusi untuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan hanya bertanding satu kerusi. – MalaysiaGazette

PRN Johor: Pas tak akan kempen untuk calon Bersatu – Hadi Awang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast