BAYAN LEPAS – Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 33(A) Akta Kanak-kanak 2001 berhubung kes seorang budak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 24 sebuah unit kondominium di Teluk Kumbar di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan polis mendapati kejadian berlaku semasa bapa mangsa keluar sebentar atas urusan kerja, manakala ibunya berada di luar kawasan Pulau Pinang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjaga daripada tidur sebelum memanjat sebuah kerusi yang berada berhampiran tingkap ruang tamu dan kemudiannya terjatuh.
“Selain itu, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama dua lagi adik-beradiknya yang sedang tidur.
“Pemeriksaan pasukan forensik polis tidak menemui sebarang tanda atau unsur jenayah,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 33(A) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kita juga mohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan perkara tidak sahih berhubung kejadian bagi menghormati perasaan keluarga serta tidak menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Gurauan pakai tudung jadi kenangan terakhir budak lima tahun jatuh kondominium
MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 24 sebuah kondominium di Teluk Kumbar di sini, reda dengan pemergian anak bongsu mereka yang disifatkan sebagai ceria dan suka bergurau.
Bapa mangsa, Efwan Reza Rusdizal, 40, berkata anaknya, Emyr Nader Redza merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan mudah menghiburkan keluarga dengan gelagatnya. – MalaysiaGazette
















