Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini mengikut mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326 akta sama.

GEORGE TOWN – Empat lelaki termasuk seorang pengantin baharu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki, minggu lalu.

Tertuduh, R. Nahveen Raaj, 34; S. Logakumaran, 31; M. Sanjit Kumar, 38; dan K. Dineskumar, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas didakwa menjadi ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang yang bertujuan semasa berada di perhimpunan berkenaan seorang atau lebih daripada ahli kumpulan didakwa telah menyebabkan kecederaan parah kepada Mohamed Umar Sheriff Mohamed Ameen, 31.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Tokong Hean Seng Kong di Jelutong di sini, jam 4.24 pagi pada 21 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam V. Parthipan.

Ketika prosiding, Jun Keong memohon agar jaminan tidak diberikan atas alasan kes tersebut merupakan kesalahan serius dan mendapat perhatian masyarakat.

Menurutnya, mangsa dalam kes itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang selain wujud risiko tertuduh melarikan diri sekiranya dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.

“Terdapat kemungkinan kesemua tertuduh mengganggu atau mempengaruhi saksi serta mangsa dalam kes ini.

“Selain itu, terdapat dua mangsa dalam kejadian ini serta empat lagi individu yang dipercayai terlibat masih bebas dan sedang dikesan polis. Justeru pembebasan tertuduh boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Parthipan memohon jaminan diberikan kepada semua anak guamnya atas alasan dakwaan bahawa mereka berisiko melarikan diri hanyalah satu kemungkinan dan tidak disokong sebarang bukti.

Menurutnya, kesemua tertuduh bermastautin di Pulau Pinang, mempunyai pekerjaan tetap serta tanggungan keluarga termasuk ibu bapa, pasangan dan anak.

“Bagi tertuduh, Nahveen dia masih bujang, bekerja sebagai pemandu trak tunda dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan serta menjaga kedua-dua ibu bapanya yang berusia 66 dan 68 tahun, manakala Logakumaran juga bujang dan bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM3,000 sebulan serta menyara neneknya yang berusia 71 tahun selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia.

“Sementara itu, Sanjit Kumar yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun bekerja sebagai juruteknik hotel dengan pendapatan RM3,000 sebulan selain masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana penyakit darah tinggi serta menyara ibunya.

“Manakala Dineskumar yang baru berkahwin sebulan lalu bekerja sebagai subkontraktor Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan serta menanggung ibunya,” katanya.

Tambah beliau, mahkamah boleh mengenakan syarat tambahan seperti menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis, selain jaminan boleh dibatalkan sekiranya mereka gagal hadir ke mahkamah.

Katanya, jaminan juga tidak seharusnya dinafikan hanya kerana empat lagi individu yang dikaitkan dengan kes itu masih bebas.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin selepas mendapati terdapat risiko mereka melarikan diri, selain terdapat penglibatan mereka dalam kes sama membabitkan mangsa berbeza seperti dimaklumkan pihak pendakwa.

“Mahkamah turut mengambil kira tahap kecederaan mangsa yang serius dan masih menerima rawatan di hospital, selain wujud kebimbangan kemungkinan mangsa diganggu sekiranya jaminan dibenarkan,” katanya.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Ogos depan bagi mendapatkan laporan perubatan penuh.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki dituduh curi telefon putus jari diserang 7 individu

MalaysiaGazette pada Selasa melaporkan perselisihan faham berhubung kecurian sebuah telefon bimbit dipercayai menjadi punca seorang lelaki diserang sekumpulan suspek sehingga cedera parah di sebuah tokong di Jelutong, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kejadian kira-kira jam 4 itu dipercayai bermula apabila berlaku pertikaian antara mangsa berusia 31 tahun dengan sekumpulan lelaki di sebuah kelab.

Beliau berkata, mangsa didakwa mengambil telefon bimbit milik salah seorang suspek, namun siasatan awal mendapati telefon berkenaan sebenarnya tidak diambil oleh mangsa.

Susulan perselisihan itu, mangsa dipercayai diekori ke sebuah tokong di Jelutong sebelum diserang sekumpulan suspek.

“Selain itu, penjaga tokong berusia 64 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut turut diserang dalam kejadian berkenaan,” katanya. –

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast