Ng Tze Yong. Foto Facebook BAM.

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencapai persetujuan untuk berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara baik berkuat kuasa 30 Jun ini.

Keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama dengan BAM dan pemain berusia 26 tahun itu, yang mana kedua-dua pihak bersetuju bahawa ia merupakan langkah terbaik bagi fasa seterusnya dalam karier profesionalnya.

Tze Yong pernah mencapai ranking No.14 dunia pada November 2023 serta mencatat beberapa pencapaian bersama skuad kebangsaan.

Ia termasuk pingat perak perseorangan lelaki dan emas berpasukan campuran Sukan Komanwel 2022, emas Kejohanan Berpasukan Asia 2022 serta gangsa Piala Sudirman 2021 dan 2023.

Bagaimanapun, perkembangan kariernya terganggu akibat kecederaan berpanjangan termasuk kecederaan belakang pada 2024 serta kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada 2025 yang memerlukan pembedahan dan tempoh pemulihan panjang.

“Tze Yong merupakan pemain penting skuad kebangsaan dan telah mewakili Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa. Walaupun kecederaan menjejaskan perkembangannya, ketabahan beliau sepanjang proses pemulihan amat dihargai.

Tze Yong turut menzahirkan penghargaan kepada BAM, barisan kejurulatihan, staf sokongan dan rakan sepasukan yang banyak membantu sepanjang perjalanan kariernya bersama skuad kebangsaan.

“Saya berterima kasih kepada BAM atas peluang, bimbingan dan sokongan yang diberikan sepanjang tahun. Mewakili Malaysia adalah satu penghormatan besar dan saya amat menghargai semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan saya.

“Buat masa ini, saya memberi fokus kepada proses pemulihan sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang dan menantikan fasa baharu dalam karier saya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast