SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan jentera Formula SAE baharu dikenali sebagai PUTRA 2 yang dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan sebagai persediaan mewakili Malaysia ke pertandingan 24th Student Formula Japan 2026 di Aichi Sky Expo, Jepun, pada 2 hingga 7 Ogos depan.
Kereta lumba itu dihasilkan menerusi Putra Motorsport Team (PMT) dengan penglibatan 73 pelajar, dibantu 10 penasihat akademik dan lima staf teknikal sepanjang tempoh pembangunan selama 13 bulan bermula Julai tahun lalu.
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pembangunan PUTRA 2 membuktikan universiti bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang dari aspek akademik, malah menjadi platform membangunkan bakat dan inovasi yang mampu memenuhi keperluan industri.

“Di UPM, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik tetapi melalui keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian sebenar yang memberi nilai kepada industri dan masyarakat.
“PUTRA 2 membuktikan bahawa pelajar kita bukan sekadar mempelajari kejuruteraan, tetapi membina teknologi dan mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kereta Lumba PUTRA 2 di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek berkenaan turut membuka peluang kepada pelajar meneroka inovasi, memimpin projek berskala besar serta membina kompetensi yang relevan dengan kehendak industri masa hadapan.
Menurut UPM, penyertaan kali ini merupakan kali keempat PMT menyertai Formula SAE Japan yang diiktiraf sebagai antara pertandingan kejuruteraan pelajar paling berprestij di dunia.
Katanya, pertandingan itu menguji keupayaan pasukan universiti dalam mereka bentuk, membina dan mempertandingkan kenderaan Formula SAE, termasuk penilaian aspek kejuruteraan, analisis kos, pembentangan model perniagaan serta prestasi jentera di litar.
Sementara itu, Penasihat Putra Motorsport Team, Prof. Ir. Dr. Mohd. Khairol Anuar Mohd. Ariffin berkata, PUTRA 2 membuktikan kemampuan pelajar tempatan menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa menerusi gabungan ilmu kejuruteraan, kreativiti dan budaya kerja berpasukan.
“PUTRA2 bukan sekadar sebuah kereta lumba, tetapi platform pembelajaran berimpak tinggi yang membolehkan pelajar menterjemahkan teori kepada penyelesaian sebenar.
“Pengalaman ini membentuk kemahiran teknikal, kepimpinan, komunikasi dan keupayaan membuat keputusan yang amat diperlukan dalam landskap industri masa hadapan,” katanya.
Dari segi spesifikasi, PUTRA 2 dibangunkan menggunakan casis keluli Chromoly, badan gentian karbon komposit buatan khas serta sistem suspensi pushrod bagi meningkatkan kestabilan dan prestasi.
Jentera itu menggunakan enjin CFMOTO 700MT berkapasiti 693cc yang telah ditala menghasilkan 72 kuasa kuda dan 61 Nm tork, selain dilengkapi sistem pengambilan udara, sistem pacuan dan sistem ekzos yang direka khas mengikut spesifikasi Formula SAE.
Projek bernilai RM118,787.12 itu direalisasikan menerusi kerjasama universiti dan industri dengan Embun Karisma Resources (M) Sdn. Bhd. sebagai Penaja Utama, Ranhill Berhad sebagai Penaja Emas dan CFMOTO (Sunlight Power Sdn. Bhd.) sebagai Penaja Platinum.
Menurut UPM, kerjasama tersebut mencerminkan keyakinan industri terhadap potensi bakat kejuruteraan tempatan serta usaha memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Berteraskan motto “Once Throttled, Move Forward”, PUTRA 2 membawa aspirasi jurutera muda Malaysia untuk terus mencabar batas kemampuan dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. – MalaysiaGazette
















