Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Strategi kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan semua parti komponen bergerak sebagai sebuah pasukan yang tersusun yang mana masing-masing fokus terhadap kawasan yang ditandingi.

Penjelasan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa itu sekali gus menepis dakwaan bahawa wujud perpecahan dalam gabungan parti tersebut.

Tambahnya, strategi tersebut bukan menggambarkan kelemahan gabungan itu, sebaliknya merupakan langkah yang mampu memaksimumkan kekuatan jentera dalam keadaan sumber yang terhad.

“Strategi setiap parti komponen PN tumpu di kawasan yang ditandingi masing-masing adalah pendekatan bagi memantapkan jentera dalam keadaan sumber yang terbatas.

“Pas yang bertanding di hanya 11 kerusi perlu mengerah kawasan membantu, tetapi turut menolong parti-parti sahabat dalam Perikatan Nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Annuar berkata, parti-parti komponen yang tidak bertanding seperti Gerakan dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) turut diberikan tanggungjawab membantu kempen di kawasan-kawasan terpilih bagi memastikan PN mencapai prestasi terbaik pada pilihan raya berkenaan.

Katanya, sokongan itu turut diperkukuhkan menerusi penyertaan parti-parti di bawah kelompok ‘Friends of Perikatan’ seperti BERJASA, PUTRA dan IMAN yang digerakkan membantu jentera di kawasan-kawasan tertentu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas belum menggerakkan bantuan jentera dari negeri-negeri lain memandangkan sebahagian besar tenaga kerja luar sedang ditugaskan membantu kempen di Melaka dan Negeri Sembilan, namun penilaian akan dibuat sekiranya terdapat keperluan.

Beliau turut memaklumkan kesemua 33 calon PN berjaya menyempurnakan proses penamaan calon masing-masing dan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja kempen.

Menurut Annuar, PN khususnya Pas mengambil pendekatan berkempen secara berhemah, berintegriti dan mesra rakyat dengan mengarahkan semua petugas mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya, selain mengamalkan sifar toleransi terhadap politik wang, sogokan, fitnah dan serangan peribadi.

“Pas tumpu pada dasar menolak ideologi pluralisme dan liberalisme, kezaliman dan penindasan serta menolak Kerajaan Madani yang gagal.

“Semoga rakyat Johor menjadi perintis menuju PRU16 untuk membuat perubahan demi negara. Angin Selatan membawa perubahan, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast