Donald Trump . foto AFP photo AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan dron sehari sebelumnya yang menyasarkan sebuah kapal kargo di Selat Hormuz.

Serangan itu dilihat sebagai ujian paling besar terhadap persefahaman sementara yang dicapai antara kedua-dua negara minggu lalu untuk memulakan usaha menamatkan konflik yang berlarutan selama beberapa bulan serta membuka semula laluan perkapalan strategik itu.

Presiden AS, Donald Trump berkata, serangan dron tersebut melanggar gencatan senjata yang dipersetujui.

Ketika ditanya pemberita sama ada AS akan bertindak balas, Trump hanya menjawab, “Anda akan mengetahuinya.”

Menurut Komando Pusat Tentera AS (CENTCOM), pihaknya menyasarkan beberapa lokasi peluru berpandu, dron dan radar pantai di Iran.

“Saya tidak suka hakikat bahawa mereka melepaskan tembakan semalam, sebenarnya empat serangan,” kata Trump di White House sejurus sebelum serangan balas dilancarkan.

Apabila ditanya mengapa serangan tetap dilakukan sedangkan beliau sebelum ini menegaskan rundingan dengan Tehran berjalan lancar, Trump menjawab: “Mereka sedikit berbeza.”

Beliau kemudian menamatkan sidang media secara mengejut dan meminta wartawan meninggalkan pejabatnya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi membalas kenyataan Trump menerusi media sosial.

Menurutnya, Selat Hormuz berada di bawah pentadbiran Iran dan menggesa semua pihak supaya “menghormati peraturan”, selain mengingatkan agar “tidak mengelirukan kawalan dengan tindakan meningkatkan ketegangan”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast