MUAR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni kembali menawarkan diri untuk merampas semula kerusi itu yang pernah dimenanginya pada 2018 dalam pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kali ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor itu yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menjadi satu-satunya calon dalam saingan kali ini yang pernah memenangi kerusi berkenaan selama sepenggal sebelum tewas kepada Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor 2022.
Selain beliau, tiga lagi calon merupakan muka baharu di DUN Bukit Naning ialah Mohd Ghazali Sabari (BN), Mohd Radzi Amin (Perikatan Nasional) dan Iskandar Md Alias (Parti Bersama Rakyat).
Turut kembali mencuba nasib ialah calon bebas, S. Jeganathan yang pernah bertanding di kerusi sama sebelum ini namun gagal memperoleh kemenangan.
Pengumuman calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Naning, Rahman@Abdul Rahman Selamat di Pusat Penamaan Calon di Dewan Angsana Maktab Teknik PDRM di sini hari ini.
Pada PRN Johor 2022, BN menerusi Datuk Dr. Mohd Fuad Tukirin memenangi kerusi itu dengan memperoleh 5,437 undi, menewaskan Mahadzir Abu Said (PN) yang meraih 3,902 undi, Md Ysahrudin (PKR) 3,317 undi, S. Jeganathan (Bebas) 1,514 undi dan Datuk Ibrahim Shafe’e (Pejuang) 86 undi.
Bagaimanapun, Mohd Fuad tidak dicalonkan semula pada PRN kali ini.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRN kali ini melibatkan seramai 2,727,926 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Daripada jumlah itu, DUN Bukit Naning mempunyai seramai 23,002 pengundi.
Pada PRN 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH (12), PN (3) dan MUDA (1).
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai. – MalaysiaGazette
















